Berita Utama

Moratorium menyeluruh seperti guna lebih banyak sumber daripada diperlukan: Tengku Zafrul

Adakan semula moratorium menyeluruh bermakna kerajaan perlu beri ganti rugi kepada bank

KUALA LUMPUR, 24 Syawal 1442H, Sabtu  – Perang melawan COVID-19 adalah lebih kepada maraton berbanding berlari dengan pantas dan menawarkan moratorium secara menyeluruh seperti menggunakan lebih banyak sumber daripada yang diperlukan apabila perjalanan di hadapan berpotensi panjang dan mencabar, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Mengetahui bahawa mereka yang memerlukan pelepasan sementara mempunyai pilihan, dan mereka yang mampu telah membuat pembayaran balik.

“Adakah moratorium menyeluruh merupakan langkah yang bijak untuk dilaksanakan semula, terutamanya apabila kita mengetahui bahawa kita perlu mengoptimumkan sumber kita?” tulisnya dalam ruangan komentar yang disiarkan dalam The Star hari ini.

Katanya, mengadakan semula moratorium menyeluruh turut bermakna kerajaan mungkin perlu memberi ganti rugi kepada bank untuk langkah yang mungkin tidak diperlukan sejak awal.

Beliau berkata, walaupun Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 membenarkan kerajaan memperoleh dan menggerakkan sumber-sumber yang diperlukan untuk kebaikan awam, sebarang langkah wajib perlu disesuaikan dengan pampasan kepada pihak yang telah menghasilkan sumber.

Katanya, menawarkan moratorium menyeluruh, tidak wajar dari segi kewangan, terutamanya dalam situasi sumber yang terhad untuk perang yang berpotensi panjang terhadap musuh yang boleh bermutasi tanpa memberi amaran.

“Saya lebih suka memindahkan sumber tersebut dalam bentuk bantuan atau subsidi kepada rakyat dan segmen perniagaan yang amat memerlukannya,” katanya.

Mengenai kenyataan beliau dipetik dalam media baru-baru ini sebagai berkata, bahawa kerajaan tidak boleh memaksa bank untuk memberikan moratorium menyeluruh, Tengku Zafrul berkata ini telah diambil luar daripada konteks oleh “golongan oportunis yang mempromosikan agenda populis mereka.”

Beliau menjelaskan bahawa, di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009 (CBA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA), Menteri Kewangan tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan bank memberikan moratorium automatik.

Selain itu, katanya di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 ketika ini, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) 2021, sebarang undang-undang baharu perlu mendapat kelulusan daripada Kabinet dan kemudian dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan Baginda.

Beliau berkata, walaupun jika kerajaan memutuskan untuk mengambil langkah populis dan memaksa komuniti perniagaan di Malaysia untuk menerapkan semula langkah-langkah seperti moratorium menyeluruh, risiko adalah keyakinan pelabur akan terjejas dalam dasar Malaysia untuk tempoh jangka panjang.

Berdasarkan undang-undang diperlukan untuk pasaran yang stabil, beliau berkata, kerajaan yang menggunakan kuasa Darurat dengan sewenang-wenangnya akan mengakibatkan beberapa pihak terpaksa melanggar atau mengubah kontrak, justeru ia akan memberi kesan buruk kepada perniagaan dan pelaburan pada masa depan.

“Ini juga mungkin mempunyai implikasi yang luas sehingga menjejaskan pasaran modal negara dan menyebabkan aliran keluar dana seterusnya mempengaruhi nilai ringgit serta meningkatkan kos menjalankan perniagaan. Secara keseluruhannya memberi kesan dalam tempoh jangka masa panjang terhadap ekonomi Malaysia.

“Kita telah pun menghadapi krisis ekonomi dan kesihatan awam, mengapa mahu mewujudkan krisis kewangan dan perbankan pula?,” katanya.

Katanya ia adalah “tidak adil dan tidak bertanggungjawab bagi kerajaan untuk mengambil semua risiko ini hanya untuk membolehkan moratorium menyeluruh untuk semua orang, terutamanya apabila mengetahui bahawa sekurang-kurangnya 80 peratus daripada peminjam tidak memerlukannya dan bank-bank telah memberikan atau menawarkan bantuan bersasar kepada peminjam yang benar-benar memerlukan bantuan itu.”

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, Tengku Zafrul berkata, pengetahuan mengenai virus tersebut amatlah sedikit dan dengan vaksin yang masih menjadi harapan yang belum dapat dicapai, tiada seorang pun di dunia yang mengetahui untuk membendungnya.

Dalam tempoh tersebut, katanya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah dan antaranya melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), selain Bank Negara Malaysia dan sektor perbankan bersetuju untuk memberikan moratorium menyeluruh secara automatik selama enam bulan kepada semua peminjam.

“Semua orang menikmatinya, daripada B40, M40 dan T20, hingga perniagaan, besar dan kecil. Sama ada mereka memerlukannya atau tidak, golongan kaya, golongan elit, syarikat besar dan syarikat yang mencatatkan keuntungan yang besar, mendapat manfaat,” katanya.

Beliau berkata, selepas moratorium berakhir pada September 2020, kira-kira 85 peratus daripada peminjam membuat pembayaran balik, merupakan petunjuk kukuh bahawa kebanyakan rakyat Malaysia dapat terus membayar pinjaman mereka.

Sejak itu, katanya, sektor perbankan telah memberi tumpuan secara strategik kepada 15 peratus daripada peminjam yang sedang bergelut, dengan menawarkan pilihan antara moratorium selama tiga bulan atau pengurangan ansuran bulanan bayaran balik pinjaman sebanyak 50 peratus selama enam bulan dalam Belanjawan 2021, yang telah diperluas melalui pakej bantuan seterusnya seperti PERMAI, PEMERKASA dan PEMERKASA Tambahan.

Beliau berkata, jumlah peminjam yang baik turut diberikan pilihan pembayaran balik yang lain bersesuaian dengan keadaan kewangan mereka.

“Setakat ini, kami telah menyalurkan bantuan bernilai lebih RM200 bilion, memberi manfaat kepada 20 juta rakyat Malaysia dan 2.4 juta perniagaan,” katanya, sambil menambah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak enam peratus bagi Mac 2021 memberi isyarat pemulihan ekonomi yang baik.

“Selain inisiatif dalam Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion dan pakej bantuan PEMERKASA Tambahan bernilai RM40 bilion yang diumumkan baru-baru ini, langkah berterusan bernilai lebih RM100 bilion masih boleh didapati daripada pakej sebelum ini untuk membantu rakyat, perniagaan dan ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, PKP 3.0 memberikan satu lagi situasi ekonomi-kesihatan awam, tetapi perbezaan yang ketara pada kali ini ialah lebih banyak yang diketahui mengenai virus tersebut dan banyak syarikat yang dapat beralih kepada bekerja dari rumah dengan cepat, manakala banyak perniagaan dengan keupayaan e-dagang meningkatkan penawaran dalam talian mereka.

Walaupun mengakui bahawa jumlah jangkitan lebih tinggi daripada 2020, beliau berkata, pelan vaksinasi kebangsaan telah dipercepatkan untuk mencapai 150,000 dos sehari pada akhir Jun, menempatkan negara di landasan ke arah mencapai imuniti kelompok menjelang akhir 2021.

Beliau turut berpendapat, memperkenalkan semula moratorium menyeluruh akan menjejaskan orang ramai kerana pelabur utama atau pemegang saham terbesar bank di Malaysia adalah sebenarnya institusi awam yang melabur dan menguruskan dana bagi pihak Malaysia.

Tengku Zafrul berkata, pemegang saham utama di bank-bank adalah institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang menguruskan dana persaraan untuk pekerja sektor swasta dan penjawat awam, Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang menerbitkan unit dana amanah untuk rakyat Malaysia, Lembaga Tabung Haji yang menguruskan simpanan milik umat Islam, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menguruskan dana keselamatan sosial untuk pekerja serta syarikat insurans dan pengurus dana menguruskan pelaburan untuk rakyat Malaysia.

“Penyelesaian yang bakal mendatangkan masalah terhadap isu tersebut umpama menyusahkan diri sendiri akhirnya.

“Secara ringkasnya, rakyat yang “memiliki” bank. Akhirnya, rakyat yang akan mendapat dividen yang lebih rendah daripada KWSP, ASB atau Tabung Haji, jika bank mengalami kerugian menerusi moratorium menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan moratorium menyeluruh akan bermaksud bank tidak akan menerima pembayaran balik pinjaman untuk memberi pinjaman kepada orang lain tetapi tetap harus membayar faedah/ keuntungan kepada pendeposit.

Keuntungan bank juga digunakan untuk menghasilkan penimbal modal supaya mereka dapat terus memberi pinjaman untuk menyokong ekonomi walaupun mengalami kerugian pinjaman, katanya.

“Tanpa penimbal ini, pemberian pinjaman akan terjejas. Ini akan menjejaskan kemudahan ekonomi yang terhasil daripada pergerakan modal yang cekap.

“Dengan memastikan sektor perbankan membantu mereka yang memerlukan, kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak hanya melindungi pendeposit, pemegang saham dan peminjam tetapi turut memastikan modal dalam ekosistem pasaran kewangan dimanfaatkan secara efisien untuk pertumbuhan ekonomi. Ini adalah situasi menang-menang yang terbaik,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai Menteri Kewangan ialah tidak membuat keputusan berdasarkan kepentingan jangka pendek untuk memenuhi agenda populis dan melakukan yang terbaik untuk rakyat, kestabilan pasaran dan keuntungan jangka panjang negara. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button