Berita Utama

Pakar Perlembagaan sokong kerajaan ambil tindakan terhadap antivaksin

Dalam tempoh seminggu proses warta undang-undang antivaksin boleh dilaksana

SHAH ALAM, 24 Syawal 1442H, Sabtu – Hanya seminggu tempoh paling cepat bagi melaksanakan proses pewartaan undang-undang terhadap golongan antivaksin, yang menghasut orang lain supaya menolak pemberian vaksin.

Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, kerajaan juga mempunyai dua pilihan bagi mewartakan undang-undang terbabit sama ada meminda undang-undang sedia ada atau menggubal Ordinan Darurat terbaharu.

Jelasnya, pewartaan undang-undang ketika tempoh darurat adalah lebih mudah berikutan kerajaan boleh meminda undang-undang sedia ada seperti Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Tambahnya, pindaan juga boleh dilakukan mengikut Akta Kanun Keseksaan (KK) atau Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang bersesuaian.

“Setakat ini, Akta 342 sudah beberapa kali dipinda termasuk melibatkan kenaikan kadar kompaun.

“Kalau tidak mahu pinda undang-undang, kerajaan boleh perkenal ordinan baharu dan ordinan itu perlu didraf dahulu,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas golongan antivaksin di Malaysia, sekiranya golongan itu didapati menghasut orang ramai daripada menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Buat masa ini, golongan antivaksin dilaporkan hanya boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan berita palsu.

Jika didapati bersalah, mereka boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Kes berita palsu juga boleh disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara dan denda.

Mengulas lanjut, Prof Nik Ahmad Kamal berkata, tindakan kerajaan mengkaji mengenakan tindakan undang-undang ke atas golongan antivaksin itu adalah wajar kerana isu vaksinasi berkait dengan isu kesihatan awam dan ekonomi negara.

Dalam situasi negara ketika ini, katanya, isu vaksinasi mengatasi kebebasan rakyat untuk memilih divaksin atau tidak kerana imuniti berkelompok sangat penting untuk Malaysia.

Beliau berkata, pindaan atau cadangan ordinan baharu hanya perlu dipersetujui dan ditandatangani Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Proses itu tidak memakan tempoh lama kerana ia bergantung kepada berapa lama tempoh diambil Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk siapkan draf ordinan baharu atau draf cadangan pindaan akta.

“Sejak tempoh darurat berkuat kuasa beberapa pindaan dan ordinan diluluskan dengan segera tanpa memakan masa lama seperti kenaikan nilai kompaun bawah Akta 342,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button