Berita Utama

Pemimpin PN tak sepakat isyarat tubuh ‘kerajaan darurat’

Pembentukan kerajaan darurat ala Mageran 2.0 peluang pembetulan asas negara

KUALA LUMPUR, 24 Syawal 1442H, Sabtu – Terdapat isyarat bahawa ‘kerajaan darurat’ perlu diwujudkan dalam masa terdekat, kata Prof Datuk Dr Salleh Buang.

Pakar undang-undang itu menyuarakan pandangan berkenaan berikutan keputusan pemimpin kerajaan yang tidak sepakat sewaktu menguruskan COVID-19.

Prof Salleh berkata, kenyataan demi kenyataan yang tidak konsisten dan selari kini semakin membarah dalam kerajaan.

Justeru, katanya, Perlembagaan Persekutuan boleh memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengambil alih kuasa diberikan kepada rakyat dengan menubuhkan Mageran 2.0 mengikut Perkara 150, Ordinan Darurat.

“Namun penambahbaikan diperlukan untuk menubuhkan Mageran 2.0 dengan jawatan pengerusi majlis itu mungkin tidak lagi diwajibkan dalam kalangan pemimpin politik susulan golongan itu, tidak kira dari parti mana sekalipun, kini berdepan defisit kepercayaan rakyat.

“Sebaiknya Yang di-Pertuan Agong melantik seorang tokoh berpengalaman, berintegriti dan negarawan dihormati semua pihak untuk mengepalai majlis khas itu dengan semua anggota dipilih perlu bertanggungjawab terus kepada Seri Paduka,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Terdahulu, timbul khabar angin isu ketidaksepakatan antara menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sewaktu membincangkan permohonan bagi kebenaran syarikat untuk beroperasi sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh.

Cadangan menubuhkan ‘kerajaan darurat’ juga pernah dibangkitkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini, yang mencadangkan ia ditubuhkan dalam masa terdekat.

Azalina berkata, kerajaan darurat tidak semestinya dianggotai ahli politik, sebaliknya jawatan dalam kerajaan itu turut boleh diisi individu berkelayakan dan mempunyai kepakaran yang boleh dimanfaatkan.

Mengulas lanjut, Prof Salleh berkata, pembentukan kerajaan darurat ala Mageran 2.0 adalah peluang kerajaan melakukan pembetulan kepada asas negara.

“Langkah itu seumpama usaha kerajaan kembali ke papan hitam untuk perbetulkan sistem struktur negara sebagaimana pelaksanaan Mageran 1969 yang membolehkan Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) terbentuk.

“Bagaimanapun, Mageran 2.0 tidak boleh terlalu berkuasa seperti Mageran 1969 dengan lapisan pertama pengurusan majlis itu mestilah dianggotai tokoh yang bebas politik, diikuti lapisan kedua pentadbiran yang wajib disertai oleh pemimpin politik daripada semua parti,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button