Berita Utama

Penyumbang Akaun Amanah Bencana layak dapat potongan cukai

Akaun ditadbir Jawatankuasa Akaun Amanah dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan

KUALA LUMPUR, 24 Syawal 1442H, Sabtu – Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) memaklumkan bahawa semua sumbangan kepada Akaun Amanah Bencana oleh individu mahupun syarikat korporat layak mendapat potongan cukai.

MoF berkata ia adalah selaras dengan Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan syarat sumbangan disokong oleh resit rasmi Kerajaan (Kew. 38) ataupun dokumen pengesahan/resit urus niaga bagi sumbangan yang dikreditkan melalui saluran-saluran sistem perbankan rasmi.

Akaun Amanah Bencana itu ditadbir oleh Jawatankuasa Akaun Amanah yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, kata MoF dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Jawatankuasa berkenaan dianggotai oleh wakil daripada MoF, Jabatan Akauntan Negara, Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Pengoperasian akaun ini juga tertakluk kepada undang-undang dan garis panduan rasmi termasuk pengauditan berkala yang ditetapkan bagi akaun akaun amanah Kerajaan,” katanya.

Pada 31 Mei, 2021, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa gaji barisan Menteri dan Timbalan Menteri yang tidak diambil selama tiga bulan mulai Jun, 2021 akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.

Pada 1 Jun 2021, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali telah mengumumkan bahawa potongan sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) ataupun Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) penjawat awam selama tiga bulan mulai Jun 2021 juga akan disumbangkan ke dalam akaun yang sama.

“Sebagai tanda manifestasi solidariti bagi membantu kerajaan dengan mengambil kira situasi semasa, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Badan Berkanun Persekutuan juga digalakkan untuk mempertimbangkan pemotongan gaji dan ganjaran kakitangan secara sukarela untuk disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana ini,” kata MoF. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button