Berita Utama

Percepat kajian vaksin COVID-19 terhadap kanak-kanak

Lebih 82,000 kanak-kanak, bayi dijangkiti COVID-19 setakat ini

MELAKA, 24 Syawal 1442H, Sabtu – Kajian terhadap penggunaan vaksin dalam kalangan kanak-kanak perlu dipercepatkan bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 ke atas golongan itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, lebih daripada 82,000 kanak-kanak dan bayi kini dijangkiti wabak itu, manakala individu berusia 13 hingga 17 tahun dilaporkan tertinggi iaitu 33 peratus.

Memberi contoh Amerika Syarikat (AS) dan Singapura, beliau berkata, negara-negara berkenaan telah meluluskan pemberian vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas.

Oleh itu, katanya, Malaysia juga perlu mengambil peluang sama bagi memastikan angka kanak-kanak dijangkiti wabak itu dapat dikurangkan.

“Sudah ada negara yang memberi vaksin kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun. Contohnya AS, seramai 600,000 kanak-kanak diberikan vaksin selain Singapura.

“Saya menggesa perkara ini dapat dipercepatkan untuk keselamatan dan nyawa kanak-kanak,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Rina berkata, kementeriannya telah berhubung dengan kementerian berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk mempercepatkan pemberian vaksin.

“Sekarang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) memberikan fokus kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU), jadi kita harap selepas ini PICK akan memberikan fokus kepada kanak-kanak pula,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button