Warga Shah Alam diajak bangkit jadi kawasan bebas arak menjelang 2040
BERJASA persoal ke mana usaha tutup kilang arak di Shah Alam?

BANGI, 24 Syawal 1442H, Sabtu – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) menyeru seluruh warga Shah Alam untuk kembali bangkit memikirkan serta memainkan peranan dalam usaha membanteras penjualan minuman beralkohol di kawasan itu.
Yang Dipertua BERJASA Shah Alam, Ustaz Fahmi Bazlan menegaskan, sejarah menjadi saksi bagaimana warga Shah Alam pernah berjaya menyekat penjualan arak di kedai-kedai serbaneka dan 24 jam.
Namun, katanya, kini kejayaan tersebut hanya tinggal kenangan selepas minuman arak dilihat kembali dijual secara berleluasa.
“Shah Alam terkenal dengan kawasan majoriti Melayu Islam, namun di sini jugalah berdirinya sebuah kilang arak terbesar dengan jenama Carlsberg.
“Walaupun di sana wujud usaha bagi mendesak pihak berwajib menutup atau setidak-tidaknya memindahkan operasi di kawasan lain, usaha tersebut tetap menemui jalan buntu, atas alasan arak termasuk dalam keperluan masyarakat minoriti dan menyumbang kepada ekonomi negara.
“Saya fikir kita perlu mengangkat semula isu ini, dengan usaha yang bersungguh-sungguh agar cita-cita kita ingin melihat Shah Alam dan Malaysia bebas arak menjelang Tahun 2040 tercapai,” katanya.
Beliau berkata, antara langkah yang boleh dilaksanakan adalah mengembalikan status larangan jualan arak di kedai-kedai serbaneka dan 24 jam.
Katanya, ia supaya tiada lagi penjualan secara berleluasa dan menyukarkan pengambilan minuman keras lagi memabukkan ini di kawasan Shah Alam.
“Semoga sedikit usaha yang digerakkan secara holistik dan berterusan membawa kepada kejayaan yang hakiki untuk melihat Shah Alam tanpa arak pada masa akan datang,” katanya.