Berita Utama

Pahang mohon peralihan fasa

Penggunaan katil ICU masih tinggi, namun kriteria lain untuk peralihan fasa sudah dipenuhi

KUANTAN, 14 Safar 1443H, Selasa – Pahang masih mencatat kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) yang tinggi, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Keadaan itu menyebabkan negeri berkenaan belum boleh beralih dari Fasa Dua ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) meskipun semua kriteria lain untuk peralihan fasa telah dipenuhi.

Berikutan itu, Wan Rosdy berkata, beliau sudah memaklumkan permohonan peralihan fasa kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

“Saya katakan mereka yang kena jangkitan COVID-19 berada dalam ICU memerlukan jangka masa lama untuk pulih iaitu kira-kira dua minggu.

“Pada masa sama mereka yang di luar mahu meneruskan kehidupan. Dari segi kadar vaksinasi, kita sudah memenuhi kriteria dan kadar kebolehjangkitan pula bawah pada 1.0.

“Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) diharap memberi pertimbangan khas untuk membolehkan Pahang beralih ke Fasa Tiga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, hari ini.

Sementara itu, beliau seperti dilapor BH memaklumkan, jumlah pemberian vaksin di Pahang telah mencapai 985,011 orang.

Katanya, 83.8 peratus sudah menerima suntikan dos pertama, manakala 713,000 individu atau 61 peratus sudah lengkap dos kedua.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button