Dunia

China setuju beri vaksin pada individu berusia 3 hingga 17 tahun

Sudah luluskan penggunaan kecemasan vaksin COVID-19 Sinovac-Biotech

BEIJING, 25 Syawal 1442H, Ahad – China meluluskan penggunaan kecemasan vaksin COVID-19 Sinovac-Biotech pada individu berusia antara tiga hingga 17 tahun, kata Pengerusinya, Yin Weidong.

Pemacu vaksinasi besar-besaran China – yang mengeluarkan 723.5 juta dos vaksin pada 3 Jun – hanya membuka pemberian suntikan kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas. 

Yin berkata, pihak berkuasa kesihatan China akan menetapkan bilakah vaksin Sinovac bakal diberikan kepada kumpulan kanak-kanak dan remaja. 

Katanya, kanak-kanak di bawah umur mempunyai keutamaan lebih rendah untuk vaksinasi berbanding warga emas, yang menghadapi risiko gejala lebih tinggi setelah dijangkiti.

Hasil awal ujian klinikal Tahap I dan II menunjukkan bahawa vaksin dapat memicu tindak balas imun pada individu berusia tiga hingga 17 tahun, dan kebanyakan kesan sampingan diterima adalah ringan.

Sementara syarikat pengeluar vaksin Sinopharm – yang juga menggunakan teknologi sama dengan Sinovac – turut menghantar data untuk penggunaan bagi kumpulan lebih muda. 

Vaksin dari CanSino Biologics itu, kini telah memasuki fasa percubaan Tahap II membabitkan mereka yang berumur enam hingga 17 tahun. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button