Uncategorized

Lim Guan Eng mengaku tak bersalah

Sebabkan tanah milik kerajaan dilupuskan kepada syarikat pemaju

BUTTERWORTH, 23 Muharram 1442H, Jumaat – Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju.

Lim, 60, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, Lim, didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri Pulau Pinang iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Bagan itu juga dituduh menyebabkan Pendaftar Hakmilik Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Lim didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap Lim dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Francine Cheryl Rajendram, sementara Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, RSN Rayer dan A. Sivanesan.

Ini merupakan pertuduhan terakhir terhadap Lim yang berkaitan dengan kontroversi projek terowong dasar laut yang menjadi perhatian, sejak beberapa tahun lepas.

Pada 7 Ogos lepas, Lim dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu balasan berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ia sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang. Zarul merupakan pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Pada 10 Ogos lepas pula, Lim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan telah menggunakan kedudukan beliau semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad, yang dilantik bagi melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Lim dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown, Pulau Pinang antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Beliau sekali lagi dihadapkan ke mahkamah sama pada 11 Ogos atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), untuk suapan wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button