Berita Utama

MCA kritik PDRM, dakwa larangan kedai arak beroperasi melampau

Sin Woon gesa kerajaan tak kenakan sekatan yang rampas kebebasan hidup rakyat

BANGI, 25 Syawal 1442H, Ahad – Biarpun MCA sebahagian kompenen dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) , parti berasaskan kaum itu dilihat tidak sehaluan terhadap keputusan penutupan pengoperasian perniagaan minuman beralkohol sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketat.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Chong Sin Woon dilaporkan mengkritik tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meletakkan perniagaan minuman keras di bawah bukan ‘essential services’ dan tidak membenarkan kedai menjual arak beroperasi.

Memetik laman web MCALantian.org, Sin Woon mendakwa, arahan penutupan ruang jualan arak di premis perniagaan sebagai tindakan penguatkuasaan yang melampau.

Dakwanya, semua dasar kerajaan dan prosedur penguatkuasaan mesti profesional dan rasional, mengikut peruntukan undang-undang yang betul tanpa membabitkan emosi serta pandangan awam.

“Kami memohon kerajaan memperbetulkan kesilapan ini, jangan benarkan negara mengenakan sekatan yang merampas kebebasan hidup rakyat.

“Hakikatnya, minuman beralkohol sama seperti minuman bergas, tergolong dalam produk makanan dan minuman keperluan, dalam SOP MKN pun tidak terdapat arahan larangan menjual arak, tindakan PDRM jelas melampaui SOP dan tidak profesional,” katanya.

Sebelum ini, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung arahan penutupan segera semua premis yang menjual minuman beralkohol.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button