Dunia

Kakitangan UNRWA lancar mogok tuntut pengambilan pekerja baharu

Perkhidmatan untuk pelarian Palestin merosot kerana krisis kewangan

RAMALLAH, 19 Ramadan 1444H, Isnin – Kakitangan Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) melancarkan mogok umum di Semenanjung Gaza pada Ahad, bagi membantah kelewatan agensi itu bertindak balas terhadap tuntutan pengambilan pekerja baharu. 

Ketua sektor buruh di Kesatuan Pekerja Arab UNRWA, Azmi Radwan berkata, semua kakitangan UNRWA melancarkan mogok umum demi menuntut hak pekerja. 

“Tiada perkembangan positif terhadap tuntutan kami, kecuali hanyalah beberapa maklum balas kecil,” kata Kesatuan Pekerja Arab dalam satu kenyataan. 

Menurut kenyataan, hanya 200 guru dilantik daripada 1,500 diperlukan untuk sekolah yang dikendalikan UNRWA. 

Terdahulu, satu mesyuarat telah diadakan pada Khamis antara UNRWA dan pekerja tempatan di Gaza untuk membincangkan mengenai tuntutan itu. 

Jumaat lalu, jawatankuasa yang mewakili pelarian Palestin di Gaza menggesa UNRWA menghentikan rancangan mengecilkan kakitangannya. 

“Kami menggesa pentadbiran UNRWA untuk mematuhi perjanjian sebelum ini, memperbaiki keadaan pekerja dan membuka peluang untuk pengambilan ratusan graduan,” kata jawatankuasa itu. 

Selama bertahun-tahun, UNRWA mengalami krisis kewangan yang teruk, menggambarkan kemerosotan keupayaannya untuk menyediakan perkhidmatan kepada pelarian Palestin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button