Berita Utama

PRN Sarawak ditangguh selaras proklamasi darurat: SPR

Tarikh pilihan raya akan difikirkan Agong selepas runding dengan Yang di-Pertua negeri

BANGI, 25 Syawal 1442H, Ahad – Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ditangguhkan selaras Proklamasi Darurat yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari lalu.

Penangguhan itu juga selaras dengan peruntukan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berkaitan pilihan raya DUN yang sedang berkuat kuasa, kata Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, SPR hari ini telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berhubung tamat tempoh DUN negeri yang ke-18.

“Namun begitu, di bawah Seksyen 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, bagi tempoh darurat berkuat kuasa peruntukan untuk memanggil, memprorog dan membubarkan DUN Sarawak tidak mempunyai kesan dan ia akan ditetapkan pada suatu tarikh oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

“Manakala Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 juga memperuntukkan pilihan raya DUN bagi tempoh darurat berkuat kuasa tidak mempunyai kesan. 

“Tarikh Pilihan Raya Negeri Sarawak hendaklah diadakan pada tarikh difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Amar dalam satu kenyataan memaklumkan DUN Sarawak – yang tamat penggal bermula esok – akan kekal berfungsi di bawah Ordinan Darurat hingga 1 Ogos depan.

“Hari ini (6 Jun) merupakan hari terakhir penggal ke-18 Dewan Undangan Negeri Sarawak. Esok, DUN sepatutnya terbubar selaras dengan Perkara 21(3) Perlembagaan Sarawak.

“(Namun disebabkan penguatkuasaan darurat) DUN dan kesemua 82 ahlinya serta jemaah menteri negeri akan terus berfungsi dan menjalankan tugas di bawah Ordinan Darurat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button