Berita Utama

Segera bekal peranti, komputer riba kepada pelajar B40: PIBGN

Bagi terus mendapat akses kepada pembelajaran semasa

KUALA LUMPUR, 25 Syawal 1442H, Ahad – Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) meminta kerajaan mempercepat pembekalan komputer riba, tablet dan peranti kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi memastikan mereka terus mendapat akses kepada pembelajaran semasa.

Presiden PIBGN Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata proses agihan melalui inisiatif CERDIK yang dijangka selesai pada September dianggap terlalu lama dan mungkin menyebabkan sebilangan pelajar terbabit ketinggalan dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dijalankan ketika ini.

“Kementerian Pendidikan perlu menggandakan usaha untuk memastikan agihan disegerakan selewat-lewatnya Julai ini bagi memastikan tiada pelajar B40 yang bimbang akan ketinggalan mata pelajaran dan berdepan dengan kesukaran untuk melalui PdPR,” katanya kepada Bernama.

Pada sidang media secara maya hari ini, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata melalui inisiatif CERDIK, sebanyak 12,887 unit peranti telah diagih kepada 95 sekolah melibatkan 51 Pejabat Pendidikan Daerah manakala 40,290 lagi dalam proses agihan selewat-lewatnya 12 Jun ini dan baki 96,823 unit dijangka selesai pada akhir September.

Mohamad Ali juga berkata tempoh PdPR yang diteruskan selama 25 hari selepas cuti pertengahan tahun perlu digunakan sebaiknya untuk memastikan lebih ramai guru menerima vaksin COVID-19 masing-masing sekali gus memastikan sekolah lebih selamat untuk dibuka.

Katanya jumlah guru yang divaksin perlu dipertingkat terutama tenaga pengajar bagi murid yang akan menduduki peperiksaan sebagai usaha memastikan sesi persekolahan secara bersemuka pada masa akan datang dapat dilaksanakan dengan selamat.

Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dalam satu kenyataan memaklumkan langkah kerajaan meneruskan siaran Didik TV selama 15 jam siaran dapat memastikan pelajar yang berdepan kekangan peranti dan gajet boleh mengikuti sesi pembelajaran dengan baik.

Sokongan dan dokongan ibu bapa juga dapat membantu guru menjayakan PdPR selain memastikan sesi itu dijalankan dengan kesesuaian pelajar dan guru memandangkan para pendidik lebih mengetahui kebolehan serta keupayaan anak didik mereka.

“GPMS menyokong bahawa guru sendiri lebih mengenali dan memahami pelajar masing-masing dan mereka perlu diberi autoriti bagi menentukan cara yang bersesuaian serta lebih efektif dalam memastikan kemenjadian pelajar yang dididik oleh mereka,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button