Berita Utama

Wujudkan tabung dana PdPR untuk kegunaan guru, murid

Syor warga guru sumbang minimum RM10 sebulan melalui potongan gaji

BANGI, 25 Syawal 1442H, Ahad – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) mengemukakan lima cadangan, susulan pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama 25 hari persekolahan serta peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang akan diadakan pada tahun depan.

Antara cadangan berkenaan, termasuk membenarkan semua calon SPM 2021 dan guru-guru yang terlibat dengan tingkatan peperiksaan diberikan suntikan vaksin agar mereka boleh hadir ke sekolah semula untuk sesi pembelajaran bersemuka bagi persiapan menghadapi peperiksaan SPM.

Selain itu, mewujudkan tabung dana PdPR bagi kegunaan guru-guru dan murid-murid untuk tujuan pembelian peralatan teknologi, alat peranti dan data internet.

Dalam hal ini, Ustaz Mohd Azizee mengesyorkan sumbangan warga guru minimum RM10 sebulan melalui potongan gaji supaya dapat menyelamatkan murid-murid dari keciciran pendidikan dan membantu warga guru dengan bantuan data internet.

Beliau berkata, tabung ini adalah inisiatif tambahan sebagai membantu usaha pihak kerajaan untuk mengagihkan 150,000 peranti kepada murid dari keluarga B40.

“Meningkatkan kualiti program Didik TV dari sudut penyiaran, dan isi kandungan agar lebih interaktif dan efektif.

“Memanfaatkan kepakaran guru-guru sedia ada melalui pengalaman PdPR 1.0 dan 2.0 untuk dikongsi bersama warga guru demi meningkatkan kompetensi guru. Pihak KPM wajar memberikan insentif khas kepada warga guru atas usaha keras mereka untuk tujuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ustaz Azizee turut mengesyorkan pelatihan intensif dan berterusan kepada warga guru berkaitan ‘cybergogy’, ‘peeragogy’ dan ‘heutagogy’ untuk berdepan pendidikan milenium dan cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

“Diharap langkah proaktif dan kreatif pihak KPM akan membantu warga guru dan murid-murid demi kelangsungan masa depan pendidikan,” katanya sambil merakamkan ucapan terima kasih berhubung pengumuman Menteri Pendidikan hari ini.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan mengumumkan pelaksanaan PdPR akan disambung lagi untuk tempoh 25 hari apabila sesi persekolahan dibuka semula pada 13 Jun bagi kumpulan A dan Kumpulan B pada 14 Jun ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, ia akan berterusan hingga cuti pertengahan penggal pada 16 dan 17 Julai ini.

Radzi turut memaklumkan ujian lisan dan amali sains SPM 2021 akan dilaksanakan pada Februari 2022 manakala ujian bertulis pula pada Mac 2022.

Jelasnya, perkara berkenaan diputuskan selepas pertimbangan keadaan dan cabaran semasa sepanjang tahun ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button