Berita Utama

Khairuddin dakwa Agong berkenan terima menghadap ketua-ketua parti?

Belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak Istana Negara setakat ini

BANGI, 26 Syawal 1442H, Isnin – Ahli Jawatankuasa Tamat Darurat, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk menerima majlis menghadap semua ketua parti-parti politik, termasuk daripada pembangkang.

Khairuddin dalam satu kenyataan di Twitter mendakwa, majlis menghadap itu untuk mempersembahkan ‘penyatuan demi negara’.

“Keseluruhan rakyat menyandarkan harapan yang tinggi kepada kebijaksanan KDYMM Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu untuk mencari satu formula penyatuan ke arah membina semula Malaysia demi kesejahteraan masa depan bangsa, negara serta agama,” tulis Khairuddin.

Jawatankuasa Tamat Darurat yang diwujudkan pembangkang sebelum ini berusaha untuk menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon campur tangan Seri Paduka supaya darurat ditamatkan.

April lalu, Istana Negara memaklumkan Seri Paduka berkenan menerima majlis menghadap itu, namun ia akan diadakan pada tarikh dan waktu yang ditentukan kemudian.

Memetik laporan Malaysiakini, rata-rata wakil parti pembangkang iaitu PKR, Parti Amanah Negara (PAN), Muda dan Pejuang memberitahu masih belum menerima jemputan rasmi.

Bahkan, menurut portal itu, pemimpin kanan UMNO yang tidak disiarkan nama turut memaklumkan belum jelas mengenai perkara berkenaan, manakala Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran juga memberitahu belum menerima jemputan rasmi.

Setakat ini juga, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Istana Negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button