Dunia

36 maut, puluhan cedera dalam kemalangan kereta api di Pakistan

Insiden berlaku di kawasan terpencil sukarkan kerja-kerja menyelamat

KARACHI, 26 Syawal 1442H, Isnin – Sekurang-kurangnya 36 maut dan puluhan yang lain cedera dalam insiden kemalangan kereta api antara bandar di Pakistan, hari ini. 

Pegawai tempatan berkata, kemalangan berhampiran wilayah utara Sindh berlaku ketika Millat Express dari Karachi ke Sargodha tergelincir awal pagi ini, dan memasuki landasan bertentangan yang dilalui Sir Syed Express dari arah Rawalpindi. 

Jumlah mangsa terperangkap di dalam bangkai gerabak masih belum diketahui, namun usaha menyelamat sedang berjalan. 

“Kemalangan berlaku agak jauh dan disebabkan itu kita menghadapi beberapa masalah dalam kerja menyelamat,” kata jurucakap kakitangan kereta api sambil menambah enam gerabak musnah dalam insiden itu. 

Kemalangan berlaku di sebuah kawasan terpencil di wilayah itu dengan bahagian landasan yang tinggi dan dikelilingi tanah pertanian. 

Bagaimanapun, 36 penumpang disahkan meninggal dunia telah dibawa ke hospital berhampiran, dan pasukan penyelamat masih berusaha membawa keluar 25 mangsa dipercayai terperangkap.

Sementara itu, Perdana Menteri, Imran Khan dilaporkan terkejut dengan insiden berkenaan dan berjanji akan melakukan siasatan penuh terhadap punca kemalangan. 

“Saya arahkan siasatan menyeluruh dibuat bagi mengesan kesalahan keselamatan kereta api,” katanya di akaun Twitter. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button