Berita UtamaIstimewa

Bantah isu arak, MCA tidak sedikit pun relevan bawa suara umat Islam

Hanya kerana jaga ‘periuk’ kapitalis, nyawa rakyat diperjudikan

BANGI, 26 Syawal 1442H, Isnin – Keselamatan nyawa majoriti rakyat tidak sepatutnya diperjudikan hanya kerana mahu mempertahankan kepentingan sesebuah syarikat yang mewakili suara golongan tertentu.

Justeru, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) menggesa kerajaan supaya melihat semula keputusan untuk membenarkan penjualan arak di premis perkhidmatan perlu seperti pasar mini, pasar raya dan kedai serbaneka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh sejak 1 Jun lalu.

BERJASA turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan MCA dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung isu itu, kerana  tidak sensitif dengan nasib rakyat terutama ketika pandemik COVID-19.

Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim kecewa dengan kenyataan menteri KPDNHEP baru-baru ini, yang seolah-olah menggambarkan sensitiviti terhadap umat Islam dan masyarakat sudah semakin hilang.

“Sesuatu yang amat mengecewakan bila mana wakil umat Islam sendiri juga yang terlibat memberi kebenaran kepada kedai-kedai untuk menjual arak.

“Bagaimana mungkin penjualan arak ingin diperjuangkan sebagai senarai keperluan sedangkan, terang-terang ianya merupakan kehendak golongan tertentu dan tiada sedikit mudarat pun jika kita tidak menggunakannya,” katanya yang turut menyifatkan keputusan itu sebagai tidak relevan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, tiada larangan penjualan arak di premis perkhidmatan perlu sekiranya syarikat perniagaan itu mempunyai lesen untuk menjual minuman keras dan dibenarkan beroperasi ketika PKP.

Beliau mendakwa, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 4 Jun memutuskan penjualan arak di kedai serbaneka dibenarkan jika mempunyai lesen, dan hanya kilang serta kedai khusus menjual minuman keras dilarang beroperasi.

Pada masa sama, Ustaz Zamani turut menyelar kenyataan MCA – sebahagian daripada anggota kerajaan – apabila turut berpihak kepada golongan berkepentingan seperti kapitalis berbanding mengutamakan nasib rakyat.

Beliau berkata, MCA sepatutnya menunjukkan kerjasama dengan kementerian untuk mengelakkan penjualan arak demi menjaga kepentingan rakyat, berbanding mengkritik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam isu itu.

“Tidakkah dengan mengkritik kerja PDRM adalah suatu yang berlebihan dan tidak masuk akal? Bila mana MCA bertindak sedemikian, ia sangatlah memperlihatkan keberanian mereka dan mengatasi keputusan sedia ada.

“Usah kerana  ingin menjaga periuk syarikat besar, nasib rakyat yang di bawah tidak dibela. Sudahlah kelangsungan hidup mereka sedia melarat, nyawa mereka juga tidak dipandang berat,” katanya.

Sehubungan itu, BERJASA menggesa tindakan segera daripada pihak kerajaan perlu diambil kira, termasuk mengutamakan pandangan awam kerana ia asas kepada pembentukan sebarang polisi.

“BERJASA juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya memperhatikan dengan jelas tindak tanduk wakil rakyat yang mengutamakan kapitalis.

“Pilihlah calon muslim yang berwibawa terutamanya di kawasan majoriti Melayu muslim untuk PRU15 akan datang. Tindakan MCA ini menandakan bahawa mereka tidak sedikit pun relevan membawa suara umat Islam yang merupakan majoriti di tempat mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button