Berita Utama

Hampir 5,000 tandatangan petisyen gesa kerajaan laksana moratorium automatik

DPMM mohon beri tempoh moratorium sekurang-kurangnya sehingga 31 Disember 2021

BANGI, 26 Syawal 1442H, Isnin – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) melancarkan petisyen, semalam bagi menuntut kerajaan melaksanakan pemberian moratorium automatik buat semua rakyat yang berhak termasuk golongan B40, M40 dan T20.

DPMM berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga kini, pelbagai golongan masyarakat dan usahawan terjejas serta terkesan secara langsung dek kerana pelbagai sekatan dan prosedur standard operasi (SOP) yang dikenakan.

“Kami memahami bahawa perkara yang dilakukan oleh kerajaan adalah untuk membendung daripada penyebaran pandemik COVID-19. 

“Walau bagaimanapun, dalam keadaan kes yang kian meningkat, kami sangat memohon untuk diberikan moratorium terus kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, DPMM berkata, berdasarkan hasil kaji selidik dan perbandingan dengan semua bentuk bantuan yang diberikan oleh kerajaan, pihaknya mencadangkan beberapa penambahbaikan boleh dilaksanakan dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“DPMM menggesa moratorium pinjaman automatik ke atas semua jenis pinjaman khususnya yang melibatkan perbankan, peminjam berlesen, syarikat kredit termasuk kad kredit kepada mereka yang tidak mendapat pendapatan tetap untuk sepanjang tempoh sehingga Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 berjaya mencapai 80 peratus.

“Atau 27 juta orang yang mana dahulu. Tempoh yang dijangkakan untuk ia dilaksanakan adalah sehingga 31 Disember 2021,” katanya.

Sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 4,029 rakyat telah menandatangi petisyen yang dilancarkan di change.org itu, semalam.

Terdahulu, dalam PEMERKASA+ bernilai RM40 bilion, Muhyiddin mengumumkan, semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh enam bulan.

Inisiatif itu akan dilaksanakan segera pada Jun 2021 dan dijangka memanfaatkan lebih lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button