Dunia

Lapangan terbang Aleppo dibuka semula selepas serangan Israel

Tiada pesawat awam dijadualkan mendarat setakat Jumaat

DAMSYIK, 18 Syaaban 1444H, Sabtu – Lapangan terbang Aleppo di Syria dibuka semula pada Jumaat selepas serangan udara Israel merosakkan landasannya, minggu ini.

Kementerian pengangkutan berkata, lapangan terbang itu menjadi saluran utama untuk penerbangan bantuan selepas gempa bumi dahsyat awal Februari lalu.

Katanya, kerosakan akibat serbuan pada Selasa lalu memaksa penghantaran bantuan dan semua penerbangan dipindahkan ke lapangan terbang Latakia serta Damsyik.

“Lapangan terbang itu telah beroperasi sejak 8 pagi. Kami telah membaiki semua kerosakan,” kata jurucakap kementerian, Soleiman Khalil.

Bagaimanapun, tiada pesawat awam dijadualkan mendarat di lapangan terbang Aleppo pada Jumaat dan Sabtu.

Terdahulu, pesawat pejuang Israel membunuh tiga orang dalam serbuan di lapangan terbang Aleppo, kata pemantau perang, Syrian Observatory for Human Rights.

Sebelum itu, lebih 80 penerbangan bantuan telah mendarat di lapangan terbang terbabit untuk menghantar bekalan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Syria, kata Soleiman.

Serangan Israel pada Selasa adalah yang kedua seumpamanya sejak gempa bumi 7.8 magnitud melanda Syria dan Turkiye.

Pada 19 Februari lalu, serangan udara Israel membunuh 15 nyawa di daerah Damsyik yang menempatkan agensi keselamatan negara.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button