Berita Utama

Kes keracunan makanan menurun 44.2 peratus pada 2020

KKM pastikan pemantauan tetap berjalan walaupun negara dilanda wabak

BANGI, 26 Syawal 1442H, Isnin – Jumlah kes keracunan makanan di Malaysia pada tahun lalu menunjukkan penurunan sebanyak 44.2 peratus iaitu daripada 516 kejadian kepada 288 berbanding tempoh sama pada 2019.

Walaupun situasi kejadian di Malaysia masih terkawal, Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius mengenai kes keracunan makanan, memandangkan soal keselamatan dan kebersihan tidak boleh dipandang ringan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan sentiasa memastikan keselamatan serta kualiti makanan di negara ini.

“Walaupun negara kini sedang dilanda wabak pandemik COVID-19, KKM tetap memastikan aktiviti pemantauan dan tindakan penguatkuasaan sentiasa dijalankan terhadap tahap kebersihan premis makanan.

“Pada tahun 2020, sebanyak 66,210 premis makanan di seluruh negara telah diperiksa di mana sejumlah 59,646 (90.1 peratus) adalah bersih,” katanya dalam kenyataan.

Manakala, 1,534 (2.32 peratus) premis makanan yang diperiksa adalah tidak bersih termasuk restoran dan kedai makan telah ditutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

“Selain itu, sebanyak 19,789 notis dikeluarkan kepada pemilik premis makanan yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983.

“KKM akan terus memperkukuhkan lagi kawalan keselamatan makanan negara bagi memastikan rakyat Malaysia terus menikmati makanan yang selamat,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata demikian dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 yang bertemakan ‘Makanan Selamat Penentu Kesejahteraan’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button