Berita Utama

Polis tumpas sindiket judi warga Korea Selatan, babit taruhan RM87 juta

Sindiket tipu 1,500 mangsa sebulan libat nilai taruhan harian RM1 juta

JOHOR BAHRU, 26 Syawal 1442H, Isnin – Polis menumpaskan satu sindiket perjudian dalam talian melibatkan warga Korea Selatan dengan penahanan 10 lelaki termasuk seorang warga tempatan dalam serbuan ke atas dua unit banglo di Iskandar Puteri pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata sindiket itu yang dipercayai telah menerima taruhan berjumlah RM87 juta sejak beroperasi dua tahun lalu, menyasarkan warga Korea Selatan di negara berkenaan.

Katanya ini kali pertama polis menumpaskan sindiket perjudian dalam talian membabitkan warga Korea Selatan di negeri itu dan mereka dipercayai menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi atas faktor kos operasi yang murah dan jaringan Internet serta kawalan keselamatan yang baik.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini telah menipu kira-kira 1,500 mangsa sebulan melibatkan nilai taruhan harian judi sekurang-kurangnya RM1 juta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya siasatan mendapati kesemua transaksi kewangan dimasukkan ke akaun bank berpusat di Korea Selatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata semua sembilan warga asing tersebut dipercayai berperanan sebagai operator operasi perjudian sementara rakyat tempatan itu pula bertindak sebagai ‘runner’ yang menjaga kebajikan sembilan warga Korea Selatan berkenaan.

Siasatan mendapati dua daripada warga Korea Selatan itu memasuki Malaysia pada Disember 2019, sementara selebihnya pada Februari tahun lepas, katanya.

Ayob Khan berkata lelaki tempatan itu pula didapati mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Turut dirampas dalam dua serbuan pada 5 petang itu ialah enam set komputer, empat komputer riba, 13 buah telefon bimbit, lapan keping kad ATM, empat unit iPad serta wang tunai berjumlah RM36,168 dan 7,779,00 won.

Kesemua suspek berusia 29 hingga 66 tahun terbabit direman bermula semalam dengan sembilan warga asing itu direman selama 14 hari, sementara lelaki tempatan tersebut pula selama tiga hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 4 (1) (G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 15 (1) (C)Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Kawasan Tempatan Dijangkiti) 2021.

Mengulas perkembangan kes Geng Nicky, beliau berkata pihaknya sedang memperkemas kertas siasatan termasuk menunggu pernyata kewangan daripada beberapa bank.

“… ini kerana kes ini besar dan transaksi pula banyak melibatkan akaun-akaun personal, syarikat dan sebagainya jadi ia akan makan masa sedikit,” katanya.

Mengenai keberadaan suspek utama Nicky Liow Soon Hee, Ayob Khan berkata setakat ini tiada maklumat baharu diperoleh daripada Polis Antarabangsa (Interpol).

Pada 20 April lepas, Interpol dilaporkan telah mengeluarkan ‘notis merah’ terhadap Liow yang dipercayai dalang sindiket ‘Geng Nicky’ dan sehari selepas itu, ke atas pembantunya Niu Zhe, 31, warga China. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button