Berita Utama

Tak mustahil industri arak masuk kategori ‘essential’ jika kerajaan terus berlembut

Penolakan Sin Woon terhadap keputusan kerajaan calar kewibawaan kerajaan PN

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 26 Syawal 1442H, Isnin – Bantahan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Chong Sin Woon terhadap arahan penutupan pengoperasian perniagaan minuman beralkohol sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah gambaran penolakan sistem dan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Ketua Pemuda Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Pusat, Ustaz Fahmi Bazlan berkata, pihaknya yakin bantahan itu datang daripada tekanan penggiat industri yang mula terkesan dan melihat adanya usaha-usaha yang sedang berjalan untuk menyekat jualan arak daripada terus mendapat sambutan dalam pasaran Malaysia.

“Penolakan Sin Woon sekali lagi mencalar dan mengguris kewibawaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Bagi memelihara prestasi baik yang sedang dibangunkan Muhyiddin, saya mengharapkan isu penolakan ini dipandang serius oleh kerajaan dan bertindak di atas kedegilan mereka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Fahmi berkata, tidak mustahil suatu hari nanti, industri ini juga akan dikategorikan sebagai ‘essential service’ jika kerajaan terus tunduk dan berlembut dalam menguat kuasa keputusan.

“Kegilaan apakah yang dilakukan sehingga pemain industri ini sanggup menjadikan ketagihan arak sebagai suatu peluang menjana pendapatan dan mengaut keuntungan yang lumayan. 

“Sehingga mereka memilih ‘memandang sebelah mata’ terhadap kemusnahan dan kemalangan jiwa yang telah berlaku.

“Mereka juga telah berjaya memasukkan elemen ketagihan setaraf dengan keperluan atau dalam istilah yang cuba diangkat sebagai ‘hak asasi untuk minum arak’,” katanya

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa, usaha untuk membanteras ketagihan arak dan aktiviti jualan yang semakin berleluasa akan diteruskan dan Pemuda BERJASA akan menjadi perintis kepada ibadah ma’ruf ini.

“Kita juga akan memulakan kempen kesedaran keburukan ketagihan arak secara saintifik, kecederaan mental dan pembaziran yang akan melanda masyarakat,” katanya.

Terdahulu, dalam laman web MCALantian.org, Sin Woon menyifatkan arahan penutupan ruang jualan arak di premis perniagaan sebagai tindakan penguatkuasaan yang melampau.

Katanya, semua dasar kerajaan dan prosedur penguatkuasaan mesti profesional serta rasional, mengikut peruntukan undang-undang yang betul tanpa membabitkan emosi mahupun pandangan awam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button