Uncategorized

Tidak kemas kini MySejahtera bukan kesalahan

Kompaun dikeluarkan atas kesalahan tersebut perlu dibatalkan

KUALA LUMPUR, 26 Syawal 1442H, Isnin – Tidak mengemas kini aplikasi MySejahtera bukan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), dan tidak perlu dikompaun, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu beliau berkata, kompaun yang telah dikeluarkan oleh mana-mana penguatkuasa atas kesalahan tersebut, perlu dibatalkan.

“Pegawai penguatkuasa juga disarankan supaya tidak salah dalam membuat sebarang tafsiran berhubung SOP (prosedur operasi standard), yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Sabtu lalu, dilaporkan seramai 29 pekerja syarikat minyak dan gas dilapor dikompaun RM2,000 setiap orang, manakala dua pekerja kilang memproses ayam dikenakan RM1,500 setiap orang, kerana tidak mengemas kini status kesihatan di aplikasi MySejahtera, ketika memasuki tempat kerja.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid kemudian dipetik sebagai berkata, kompaun tersebut akan dibatalkan.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata, walaupun perkara tersebut tidak menjadi kesalahan di bawah Akta 342, rakyat perlu berintegriti dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap aplikasi tersebut.

Ini kerana beliau berkata, MySejahtera merupakan aplikasi dibangunkan kerajaan bagi membantu pengawasan penularan wabak COVID-19 di dalam negara, dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

“Justeru, aplikasi ini bukan hanya untuk mengimbas sekiranya memasuki sesuatu tempat, tetapi lebih penting adalah melakukan kemas kini setiap hari, malah setiap masa sekiranya perlu bergantung kepada pergerakan serta aktiviti kita pada hari terbabit.

“Sebagai rakyat kita bukan hanya perlu jujur dalam memberikan maklumat berkaitan diri kita, tetapi juga memegang amanah untuk memastikan setiap maklumat diberikan adalah tepat dan benar,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button