Kolumnis

Apakah PBT dan GLC sudah buta mata hati?

Apakah ini erti pembangunan sebenar sehingga mati habis jati diri negara?

MENYAMBUNG coretan sebelum ini, nama-nama bangunan dan taman semakin tidak mencerminkan jati diri negara.

Nama negara dan negeri-negeri begitu klasik dan penuh dengan makna, Tanah Melayu, Malaysia, Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak

Malangnya, apabila berlaku pembangunan, jati diri ini semakin hilang entah ke mana.

Teramat menyedihkan apabila ia melibatkan PBT yang memberi kelulusan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) turut tidak memberikan nama-nama yang ada jati diri. Usahlah ditanya syarikat-syarikat swasta ultra kiasu, jangan haraplah langsung nama-nama dalam bahasa Melayu akan digunakan, kerana memang dalam perancangan untuk menghilangkan semua jati diri itu.

Cuba tengok nama bangunan komersial dan taman-taman yang dibangunkan oleh SP Setia, PNB, Sime Darby, I&P, Boustead, LTAT dan lain-lain GLC yang tidak sempat saya nukilkan di sini.

Ini belum termasuk lagi, papan tanda, nama kedai, banner, bunting, dan apa jua risalah awam yang digantung dan disebarkan di merata tempat dengan kelulusan PBT.

Bahasa kebangsaan langsung tidak didaulatkan. Ada yang sepenuhnya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Cina. Mahu kata apa lagi.

Yang mencadangkan nama projek adalah syarikat berkaitan, yang meluluskan adalah PBT.

Jati diri ini semakin hilang

Cuba lihat hospital yang dibangunkan oleh KPJ Healthcare Bhd, di setiap kota raya hampir di setiap negeri. Boleh dikatakan hospital ini terletak di New York, bukan di Malaysia. Bahasa Inggeris sepenuhnya, hatta sehingga ke kawasan parkir pun bahasa Inggeris. Mereka lebih selesa menggunakan emergency bukan kecemasan.

Bagi GLC sektor perbankan, seperti Maybank, CIMB, Bank Muamalat, dan lain-lain bank, boleh dikatakan sepatah haram bahasa Melayu mula tidak digunakan, semuanya dalam bahasa Inggeris. Yang ada dalam bahasa Melayu, Cuma tanda KELUAR di pintu.

Kalau ada pun bahasa Melayu digunakan sekadar batuk di tangga

Cuba masuk ke dalam bangunan TM, TNB, Petronas dan berbagai GLC lagi. Boleh dikatakan seolah-olah jati diri negara sudah mati.

Sudah matikah jati diri anak-anak Melayu Islam yang berada di PBT dan GLC? Apa yang ada dalam hati mereka? Tidak ada sekelumit memikirkan soal ke mana negara ini hendak dibawa dan dibangunkan.

Saya banyak juga berjalan ke negara luar, penuh dengan jati diri negara. Tetapi bila tiba negara kita, seolah-olah kita sendiri yang merosakkan jati diri negara.

Jangan dibandingkan dengan sektor perkhidmatan dan pelancongan. GLC penerbangan negara kita, cantik logonya lambang wau atau layang-layang. Teramat malang, jati diri semua ke laut.

Lagilah teruk kapal terbang murah berwarna merah. Pakaian pramugara, tutup sampai ke gelang tangan dan gelang kaki. Tiba kepada pramugari merah, terbuka luas sehingga nama terurat dan tersirat. Semua pengumuman mendahulukan bahasa Inggeris.

Siapakah yang memantau dan meluluskan semua ini? Takkan tidak ada satu pun kementerian bertanggungjawab?

Jangan pergi jauh, bandingkan dengan negara Thailand. Jangan lihat PBT dan GLC mereka, bagaimana mereka menjaga jati diri negara.

Naik dulu kapal terbang Thailand, penuh dengan jati diri. Menapak kaki ke dalam kapal terbang Siam, sudah terdengar ucapan swaswadee, bukan macam kita good morning/afternoon dan lain-lain.

Majalah mereka sepenuh dalam bahasa Siam. Bukannya seperti majalah kita, nak cari semuka pun dalam bahasa Melayu, begitu susah sehingga terpaksa belek-belek beberapa kali.

Sedihnya bila kita tengok, carta organisasinya, hak memegang jawatan yang atas-atas semua orang Melayu Islam.

Sudah matikah semua jati diri kamu? Kamu nak bawa negara ini ke mana sebenarnya? Menjadikan mereka memahami barat atau memahami erti tanah air sendiri?

Malang sungguh mendapat orang-orang sebegini membawa hala tuju negara.

Hamka pernah berkata, kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan pun hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja.

Nak jadi manusia atau kera atau babi?

Sudah tentu antara darjat manusia dengan binatang ada beza meskipun keduanya adalah makhluk ciptaan Tuhan

Manusia ini istimewa, dikurniakan akal dan kemampuan untuk berfikir selain sifat kebebasan memilih (free will). Oleh sebab itulah manusia memiliki tingkat kehidupan yang berbeza dengan binatang.

Peliknya, kenapa manusia tidak guna akal untuk berfikir?

Hamka berkata lagi, kalau manusia hidup cuma sekadar hidup, babipun melakukannya. Kalau hidup cuma untuk makan dan tidur binatang pun boleh melakukannya.

Sebagai manusia, sudah tentu kita punya nilai tambah yang lebih daripada supaya berbeza dengan kera dan babi.

Hidup bukan untuk makan dan tidur. Tetapi makan dan tidur untuk hidup, agar dapat mencipta dan mengusahakan sesuatu yang bermakna untuk agama, bangsa dan negara.

Sebagai manusia, kalau kerja sekadar bekerja, apalah bezanya dengan kera? Kera juga mampu bekerja dengan kudrat kebolehan yang dikurnia. Malahan kera mampu bekerja untuk manusia memetik kelapa.

Begitulah mendalam sekali perumpamaan Hamka ini.

Dalam kata lain, ketika bekerja kita kehilangan rasa dan perasaan. Apabila bekerja hanya sekadar untuk gaji dan naik pangkat, tanpa jatuh cinta kepada agama, bangsa dan negara

Alangkah indahnya hidup ini, jika dalam kalangan yang berada di PBT, GLC di mana juga berada, dapat menanamkan kecintaan jati diri, demi peningkatan prestasi kerja hari demi hari.

Begitulah halnya pula dengan kehidupan kita. Hidup akan lebih bermakna sekiranya dapat memberikan sesuatu dan menyumbang kepada agama, bangsa dan negara, terutama dalam menjaga semua jati diri ini. Tolak segala bentuk rasuah yang boleh menghancurkan jati diri negara.

Tidak ada ertinya bangunan didirikan ratusan tingkat. Begitu juga tidak ada ertinya pembangunan, jika tanpa jati diri agama, bangsa dan negara. Jangan sampai kita dikutuk oleh generasi akan datang, hanya kerana kelalaian kita yang disengajakan demi mendapat habuan dunia. Pastikan kita manusia berbeza dengan kera dan babi.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button