Berita UtamaDunia

ASEAN desak junta Myanmar henti keganasan, segera laksana lima konsensus

Perkembangan pelaksanaan konsensus oleh junta terlalu perlahan

BEIJING, 27 Syawal 1442H, Selasa – Menteri Luar Negeri di Asia Tenggara mendesak junta Myanmar menghentikan keganasan, membebaskan tahanan dan memulakan dialog yang dipersetujui di tengah peningkatan demonstrasi awam susulan rampasan kuasa 1 Februari di negara itu.

Di luar pertemuan di China, yang juga dihadiri oleh Menteri Luar Negeri junta Myanmar, Wunna Maung Lwin, Menteri Luar Negeri Indonesia, Retno Marsudi meminta lima konsensus yang dipersetujui oleh Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada bulan April dilaksanakan secara segera dan telus.

“Indonesia benar-benar berharap agar pelaksanaan konsensus dilakukan selepas pertemuan ini dengan proses yang telus,” kata diplomat Indonesia itu.

Sementara itu, rakan sejawatannya dari Singapura, Vivian Balakrishnan, menegaskan, blok itu kecewa dengan ‘tindakan yang sangat lambat’ di Myanmar dalam menekankan perlunya tindakan oleh pemerintah tentera negara itu.

Menteri Luar Negeri Malaysia, Hishammuddin Hussein pula mengatakan, ASEAN harus mengakui bahawa perkembangan dalam pelaksanaan konsensus itu terlalu perlahan. 

“Komuniti antarabangsa sedang menunggu tindakan lebih lanjut ASEAN,” katanya.

Ucapan tersebut muncul selepas lawatan ke Myanmar oleh dua utusan ASEAN di mana mereka mendesak junta untuk membebaskan semua tahanan politik.  

Utusan ASEAN sebelum ini bertemu pemimpin junta Min Aung Hlaing di ibu negara Myanmar, Naypyitaw.

Penguasa tentera Myanmar telah menunjukkan tanda bahawa pihaknya memberi perhatian terhadap kesepakatan April lalu di antara 10 negara ASEAN, yang menuntut agar berakhirnya keganasan, perbincangan politik dan penamaan utusan khas.

Penentang junta telah menyuarakan kekecewaan terhadap kurangnya tindakan keras oleh ASEAN.

Myanmar mengalami ketegangan dalam beberapa bulan terakhir dengan junta terdesak untuk memaksa kawalan sejak menggulingkan pemimpin de facto negara itu, Aung San Suu Kyi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button