Berita Utama

ASEAN perlu saling kerjasama cipta vaksin COVID-19

'Krisis vaksin' mungkin berlaku jika negara pengeluar hadkan penjualan vaksin

BANGI, 27 Syawal 1442H, Selasa – Negara Asia Tenggara khususnya ASEAN perlu memainkan peranan signifikan supaya dapat terlepas daripada kebergantungan terhadap negara besar dalam memperoleh vaksin COVID-19.

Langkah itu boleh dilakukan dengan mengumpul pakar dan menjalankan kajian saintifik untuk saling bekerjasama khasnya dalam menciptakan vaksin COVID-19 untuk ASEAN.

Pensyarah Kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa (SoIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohammad Fajar Ikhsan berkata, hal ini tentunya dapat memperkukuh kedudukan negara berkembang khususnya dalam pendekatan regionalisme supaya tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada negara kaya.

“Sudah tentu juga, pendekatan ini mampu memberikan respon baharu kepada industri farmasi global yang bersifat kapitalistik.

“Meskipun kita sedar pada dasarnya negara selalu bersifat egoistik dan unilateralistik, serta industri global cenderung bersifat monopolistik dan kapitalistik, namun kita selalu mengharapkan akan wujud keseimbangan baharu dalam tatanan ekonomi, sosial dan politik global.

“Sasaran perlu dicapai adalah untuk menciptakan suatu keadaan yang lebih adil dan manusiawi, selain egaliter atau bersifat setara,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Mohammad Fajar berkata, hari ini dunia menghadapi ketidaktentuan sama ada dalam arena politik mahupun ruang ekonomi dan aktiviti pasaran.

Selanjutnya beliau berkata, apabila pandemik global COVID-19 memberikan kesan sangat signifikan kepada hampir semua negara di dunia, sudah tentu ia menambah parah kepada ketidaktentuan dalam ruang ekonomi politik global.

Ketidaktentuan seperti kegagalan pasaran dalam melakukan transaksi, penurunan produksi dan penggunaan, kegagalan dalam syarikat besar dan kecil, hingga peningkatan bilangan masyarakat yang kehilangan pekerjaan, menjadi isu penting yang perlu dicarikan penyelesaiannya, katanya.

“Bahkan, ketika keadaan sosioekonomi seluruh negara di dunia berada pada titik terendahnya – di mana ia lebih parah daripada semasa kemelesetan besar pada 1929 hingga 1930-an, sebahagian negara besar khususnya negara industri yang memproduksi vaksin seakan-akan mengehadkan pembahagian vaksin kepada negara lain.

“…dan hanya menumpukan kepentingan pengagihan untuk masyarakat dalam negaranya sahaja.

“Ini tentunya sangat dikhuatiri, di mana negara industri dan pengeluar vaksin cenderung bersikap nasionalistik, inilah yang disebutkan sebahagian pakar sebagai nasionalisme vaksin,” katanya.

Atas sebab itu jelasnya, vaksin yang dihasilkan hanya digunakan untuk kepentingan masyarakat domestik, berbanding membahagikannya dan bekerjasama dengan negara lain yang memerlukan, termasuklah negara membangun dan negara miskin.

Katanya lagi, keadaan itu akan memperluaskan jurang kesenjangan sosial antara negara kaya dan miskin begitu juga isu hak paten yang wujud dalam Perjanjian Aspek Perdagangan Hak Harta Intelek (TRIPS) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)

“Tentunya, instrumen ini satu daripada ‘alat strategik’ yang selalu digunakan khususnya oleh negara pengeluar yang bekerjasama dengan industri perubatan kapitalis global dalam menyebarkan dan menjual ubat-ubatan dan paten ubat dengan harga sangat tinggi, serta melindungi produk mereka dengan lesen yang mahal.

“Impaknya, kebanyakan negara berkembang dan terbelakang sukar mendapatkan akses kepada ubat-ubatan dan paten untuk mengeluarkannya secara bebas.

“Tambah khuatir, kemungkinan negara pengeluar mengehadkan penjualan vaksinnya, sehingga negara lain boleh menghadapi ‘krisis vaksin’,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button