Berita UtamaDunia

Empat sekeluarga Muslim mati dirempuh pengganas di Kanada

Serangan dirancang kerana kebencian terhadap Islam: Polis

ONTARIO, 27 Syawal 1442H, Selasa – Seorang lelaki yang membawa trak pikap merempuh dan membunuh empat ahli keluarga beragama Islam, serta mencederakan seorang kanak-kanak. 

Kejadian di selatan wilayah Ontario, Kanada itu didakwa sebagai serangan yang dirancang berikutan kebencian terhadap agama Islam, kata polis dalam satu kenyataan. 

Dilaporkan, empat sekeluarga itu dirempuh ketika menunggu untuk menyeberangi persimpangan pada petang Ahad di London, Ontario.

Mangsa termasuk seorang wanita berusia 74 tahun, seorang lelaki berusia 46 tahun, seorang wanita berusia 44 tahun dan seorang gadis berusia 15 tahun.  

Manakala, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun berada di hospital dengan kecederaan serius tetapi tidak mengancam nyawa.

“Ada bukti bahawa ini adalah tindakan terancang, yang dirancang dan didorong oleh kebencian.  

“Dipercayai mangsa-mangsa ini menjadi sasaran kerana mereka beragama Islam,” kata Superintendan Detektif Paul Waight pada sidang akhbar.

Waight memaklumkan, polis telah menangkap suspek, Nathaniel Veltman, di tempat letak kereta pusat membeli-belah empat batu dari tempat serangan berlaku.

Suspek berusia 20 tahun itu didakwa dengan empat tuduhan pembunuhan peringkat pertama dan satu tuduhan cubaan membunuh. 

Polis juga mengesahkan mereka sedang berunding dengan Peguam Negara dan Polis Diraja Kanada, pasukan nasional, mengenai kemungkinan tuduhan serangan pengganas.

Sementara itu, Datuk Bandar London, Ed Holder memerintahkan bendera di luar balai bandar  diturunkan selama tiga hari untuk berkabung.

“Ini adalah tindakan pembunuhan besar-besaran, yang dilakukan terhadap umat Islam – terhadap warga London – dan berakar pada kebencian yang tidak dapat diungkapkan,” katanya. 

London, yang mempunyai kira-kira 400,000 penduduk, mempunyai komuniti Muslim yang besar dan Holder mengatakan bahasa Arab adalah bahasa kedua yang paling banyak digunakan selain bahasa Inggeris di bandar ini. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button