Berita Utama

Hentikan polemik! Laksana segera moratorium automatik jika benar kerajaan prihatin

Bantuan setakat ini tak setimpal, jauh lebih rendah daripada Garis Kemiskinan Kebangsaan

BANGI, 27 Syawal 1442H, Selasa – Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) – lebih 20 NGO dan Kumpulan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) Melayu dan Islam Kebangsaan – hari ini menggesa kerajaan untuk menghentikan polemik moratorium dengan tindakan serta-merta.

Koordinator Gabungan NGO-NGO Melayu dan Islam, Ahmad Yazid Othman mendesak Kabinet Malaysia mengarahkan pihak pemberi pinjaman seperti bank, peminjam berlesen, syarikat kredit, koperasi dan seupamanya, memberikan moratorium automatik dan tanpa syarat kepada semua golongan B40 dan M40 selama 6 bulan.

Moratorium itu juga, tegasnya, perlu diberi tanpa mengenakan sebarang faedah atau keuntungan tambahan termasuk apa jua bentuk caj sepanjang tempoh berkenaan.

“Moratorium automatik amat diperlukan oleh semua rakyat disebabkan pihak kerajaan tidak mampu memberikan bantuan tunai, setimpal dengan kos kerugian yang ditanggung rakyat yang berupaya untuk meringankan beban dan aliran tunai mereka.

“Bantuan yang diberikan setakat ini jauh lebih rendah daripada Garis Kemiskinan Kebangsaan RM2208.00.

“Kebanyakan rakyat yang terbeban dengan hutang pinjaman sewaktu krisis wabak COVID-19 ini, moratorium automatik ini adalah perkara ‘hidup atau mati’ dari segi menyambung kehidupan harian mereka dan mampu menghindar mereka dari terjebak dengan hutang ‘Ah Long’ dan masalah sosial,” katanya dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Yazid menggesa kerajaan menggunakan segala kuasa yang diberikan oleh Yang Di-Pertuan Agong di kala darurat ini termasuk Ordinan Darurat bagi menangani krisis ekonomi dan kesihatan dengan berkesan.

“Rakyat memberikan kepercayaan kepada kepimpinan kerajaan untuk melaksanakan amanah tersebut demi kepentingan rakyat Malaysia.

“… dan sedang memerhatikan setiap tindakan yang diambil Sam ada benar-benar menggambarkan keprihatinan terhadap kumpulan majoriti rakyat yang terkesan kelangsungan hidup mereka. 

“Kami juga menyeru kepada seluruh rakyat yang ingin bersolidariti supaya mengemukakannya dengan menyokong petisyen yang dilancarkan dua hari lepas dan setakat ini telah berjaya mengumpul kan lebih 10,000 sokongan.

 

Sebagai tanda sokongan, orang ramai boleh menandatangani petisyen di pautan https://www.change.org/SelamatkanRakyatBUKANbank

Antara NGO yang menyokong desakan ini adalah Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM), Allied Coordinating Committee of Islamic NGO (ACCIN).

Selain itu adalah Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kongres Rakyat, Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM), Gabungan Persatuan Alumni Sekolah Berasrama Penuh (GPASBP), Padi Rescue, Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING).

Juga termasuk dalam sokongan adalah Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Persatuan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia, Persatuan Iqra Malaysia (PIM), Liga Muslim Malaysia, Persatuan Jihad Ekonomi Muslim Bersatu (JIETU), Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM), Gerakan153 (G153), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia.

Pertubuhan Sahabat Erat dan Amanat Rakyat Malaysia (SEDAR), Pertubuhan Gerakan Qiam (QIAM), Gabungan Demi Melayu (DemiMelayu), Movement for Monetary Justice (MMJ) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button