Berita Utama

Kemerdekaan yang diharapkan demi masa depan watan berdaulat

Kibaran Jalur Gemilang tidak cukup jika ahli politik muka lama terus rakus dan tamak kuasa

MARILAH kita mensyukuri nikmat kemerdekaan negara kita bagi tahun yang ke-64. Perjuangan untuk mencapai kemerdekaan sudah pasti menjadi lipatan sejarah dan menjadi rujukan generasi-generasi yang akan datang.

2. Namun, tidak cukup hanya sekadar melaungkan slogan merdeka tetapi Tanah Rizab Melayu yang sudah hilang, masih tidak diganti mengikut keluasan yang sudah hilang itu. Tanah adalah kuasa dan ukuran kekuatan sesuatu bangsa. Oleh itu, tidak hairan jika bangsa-bangsa asing yang datang ke Tanah Melayu dan kemudian diberikan taraf warganegara, begitu bersungguh sungguh untuk memiliki tanah hak milik kekal dan tanah pajakan selama 999 tahun.

3. Kibaran Jalur Gemilang juga tidak cukup, jika ahli-ahli politik muka lama terus rakus dan tamak kuasa serta kering idea dalam membangunkan agenda bangsa. Sistem politik negara diperkosa sehingga ahli-ahli politik rakus berseronok di atas pentas politik yang telah dijadikan ladang kuasa untuk menjadi kaya-raya.

4. Sambutan ulang tahun kemerdekaan juga belum cukup, jika neraca benar atau salah, korupsi atau integriti dikira mengikut neraca pihak yang memerintah. Kes mahkamah yang bertimbun-timbun melibatkan puluhan atau ratusan juta ringgit. Mereka akan dihukum sekiranya berada di pihak pembangkang, namun disucikan jika bertukar menjadi kerajaan.

5. Apa makna kemerdekaan jika rakyat diperbodohkan oleh pemimpin parti yang rakus dan tamak kuasa. Rakyat dididik dengan sikap suka meminta-minta. Sikap suka meminta-minta ini disuburkan oleh pemimpin parti haloba untuk menundukkan rakyat demi mendapatkan undi. Cukup dihulurkan kain pelekat dan wang tunai RM10, undi mereka sudah diperolehi untuk menang pilihanraya dan kelangsungan kuasa.

6. Inikah negara merdeka? Inikah sahaja yang kita mampu lakukan untuk mengisi kemerdekaan? Kita mesti merasa takut dan bimbang. Ini adalah kerana, permainan kuasa politik masa kini, kita sudah boleh membuat satu andaian bahawa masa depan kuasa politik Melayu dan Islam adalah sebagai kuasa politik penumpang dan diperkudakan.

7. Sekarang kita tanya diri kita, adakah kita benar-benar merdeka? Jika benar, kita sudah tidak ada masa dan mesti berani untuk melangkah dan membuat keputusan.

8. Kita mesti mencipta sejarah dalam PRU15 nanti. Letakkan kembali kuasa politik Melayu dan Islam di tangan pemimpin berwibawa dan mempunyai agenda membangunkan watan tercinta. Pemimpin-pemimpin politik lama yang tamak kuasa, mencanang agenda rakyat hanya retorik semata-mata, kering idea untuk membangun negara, berebut kuasa hanya untuk menjadi kaya-raya, mereka ini mesti direhatkan dari arena politik negara.

9. Negara merdeka mesti diisi oleh ahli-ahli politik yang berjiwa merdeka. Mereka yang mempunyai watak negarawan, berwibawa, berintegri tinggi mesti kita angkat sebagai pemimpin untuk membina semula negara yang kita cintai. Ahli-ahli politik ini mampu mengangkat Malaysia menjadi sebuah watan berdaulat yang disegani dunia.

Ustaz Haji Zamani Ibrahim
Presiden BERJASA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button