Artikel KhasBerita UtamaPendapat

Darurat 2021: Peranan pembangkang tetap signifikan

Jawatankuasa Khas Bebas boleh nasihat ubah tempoh darurat

SERI Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal, jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Darurat ini bukan untuk kepentingan politik kepartian. Sebab itu, tempohnya boleh berubah melalui nasihat oleh satu badan bebas yang disebut Jawatankuasa Khas Bebas.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Khas Bebas, yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

Jawatankuasa Khas Bebas ditubuhkan di bawah suatu Ordinan untuk menasihati Seri Paduka Baginda, sama ada darurat besar masih berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa Proklamasi Darurat atau menamatkan Proklamasi lebih awal dari tarikh yang ditetapkan.

Jawatankuasa Khas Bebas ini tidak dimonopoli oleh parti kerajaan, bahkan terdiri dari pakar-pakar yang membuat keputusan berdasarkan fakta dan data, serta status penyebaran wabak.

Keanggotaan jawatankuasa ini tentunya terdiri dari pihak-pihak yang memainkan peranan utama dalam usaha menangani COVID-19, dan pihak yang menjadi penggerak utama institusi demokrasi di Malaysia.

Prinsip keadilan, ketelusan dan kesaksamaan ini sentiasa menjadi keutamaan Al-Sultan Abdullah.

Bahkan, sebelum memutuskan Proklamasi Darurat, Baginda terlebih dahulu mendapatkan taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki bin Ali; Peguam Negara Tan Sri Idrus bin Harun; Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Haji Affendi bin Buang; Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid bin Bador, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham bin Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani bin Salleh.

Apa yang menarik lagi, Jawatankuasa Khas Bebas ini akan turut dianggotai oleh wakil dari parti pembangkang. Hal ini menggambarkan sikap terbuka Yang Di-Pertuan Agong bagi memastikan Proklamasi Daruruat tidak menjadi alat politik.

Inilah sikap yang amat baik seorang Ketua Utama Negara yang tetap menyantuni semua pihak.

Sebagai rakyat yang setia, semua pihak termasuk pembangkang sewajarnya menghargai keprihatinan Baginda dan berlapang dada menerima keputusan yang telah ditetapkan ini.

Amat malang jika ada yang masih sombong dan cuba untuk menangguk di air keruh serta gagal memahami perit getir rakyat berdepan dengan wabak COVID-19 dan kesempitan hidup dalam tempoh sukar ini.

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button