Pendapat

Kes COVID-19 kanak-kanak meningkat, ibu bapa perlu ambil langkah berjaga-jaga

Pengorbanan pada hari ini untuk keselamatan keluarga, negara pada hari esok

MENURUT Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, sebanyak 19,851 kes melibatkan kanak-kanak berusia bawah 4 tahun; 8,237 kes (5 hingga 6); 26,851 (7 hingga 12) dan 27,402 (13 hingga 17) dan mereka adalah pesakit COVID-19 dalam kategori 1,2 dan 3. Angka ini sangat membimbangkan.

Oleh itu Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan amaran terhadap mana-mana ibu bapa yang ingkar kerana mendedahkan kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun kepada COVID-19 dengan membawa mereka ke tempat berisiko termasuk kawasan sesak.

Sebagai ibu bapa dan rakyat yang prihatin terhadap kanak-kanak, kita perlulah mempunyai rasa tanggungjawab dan berusaha mengambil langkah berjaga-jaga berikutan kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat.

Walaupun jangkitan membabitkan kanak-kanak tidak setinggi kes dewasa, ibu bapa perlu faham bahawa kanak-kanak juga boleh menyebarkan virus dan turut menyukarkan negara memutuskan rantaian jangkitan. Tambahan lagi, kanak-kanak juga bukan golongan yang layak menerima vaksin COVID-19. Jadi lebih baik melindungi mereka dari musuh yang tidak kelihatan di mata ini.

Pastinya majoriti ibu bapa merasakan ia sangat mengganggu emosi anak-anak sepanjang PKP ini, tambahan pula di musim cuti sekolah. Justeru, ibu bapa perlulah bersedia untuk bersama anak-anak, menyusun aktiviti-aktiviti sesuai mengikut minat anak-anak. Libatkan seluruh keluarga untuk aktiviti yang boleh diadakan secara dalaman.

Norma baharu untuk kanak-kanak ini sukar dibayangkan, pastinya keluh kesah yang tak berpenghujung kerana sebelum ini mereka boleh bermain bersama kawan-kawan juga bersiar-siar bersama keluarga. Sekarang suasana itu sudah tidak ada lagi.

Sebagai ibu bapa, ambillah peluang ini untuk kembangkan potensi anak-anak. Terdapat pelbagai program berfaedah dan menarik untuk anak-anak ikuti secara secara online. Ini boleh mengurangkan anak-anak menghabiskan masa dengan bermain ‘game’ sahaja.

Sibukkan anak-anak dengan aktiviti yang boleh membangunkan jati diri anak-anak. Bantulah anak-anak dan galakkan anak-anak belajar sesuatu yang bermanfaat untuk diri mereka seperti berlatih untuk pengucapan awam, hasilkan video, menulis esei dan banyak lagi mengikut minat masing-masing. Juga, galakkan mereka membaca buku-buku yang berfaedah.

Terdapat juga kelab-kelab atau badan-badan NGO yang mengadakan program dan pertandingan secara dalam talian. Berilah sokongan kepada anak-anak untuk menyertainya. Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) ISMA juga banyak menganjurkan program untuk kanak-kanak 7-12 tahun di bawah Kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM).

Akhirnya, BKM juga berharap dengan usaha ini, keadaan wabak negara kita dapat dikawal dengan baik. Pengorbanan kita pada hari ini adalah untuk keselamatan keluarga dan negara kita pada hari esok.

Ayuh bersama duduk di rumah, kita jaga kita.

Puan Hajjah Asma binti Ahmad
Pengerusi Biro Keluarga & Masyarakat (BKM)
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button