Berita Utama

Laporan kemalangan LRT Kelana Jaya dibentang esok

Dapatan laporan turut kemuka cadangan tingkatkan keselamatan

KUALA LUMPUR, 27 Syawal 1442H, Selasa – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata, laporan daripada Jawatankuasa Siasatan mengenai insiden perlanggaran tren Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya yang berlaku pada 24 Mei lalu dijangka akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet esok.

Ka Siong berkata, beliau berpuas hati dengan laporan oleh Jawatankuasa Siasatan yang terdiri daripada 9 anggota, diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan yang dibuat secara profesional, komprehensif dalam perinciannya, dan dapat diselesaikan dalam tempoh 14 hari yang diberikan kepada mereka.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada pasukan Jawatankuasa Siasatan atas usaha keras dalam beberapa hari ini, bertungkus-lumus siang malam termasuk turun padang ke Pusat Kawalan Operasi (OCC) LRT Kelana Jaya, membuat sesi simulasi di tempat kejadian, temusiasat serta meneliti dokumen-dokumen panduan operasi berkaitan.

“Saya telah menerima laporan daripada Jawatankuasa Siasatan mengenai insiden pelanggaran LRT Kelana Jaya yang berlaku pada 24 Mei 2021 dan satu sesi pembentangan laporan secara maya telah disampaikan oleh Jawatankuasa Siasatan kepada saya,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, hari ini.

Beliau berkata, dapatan laporan itu akan dibentangkan kepada Kabinet dengan beberapa cadangan untuk meningkatkan keselamatan dan prosedur operasi standard untuk tren RapidRail.

“Pada ketika ini, saya masih meneliti dokumen-dokumen dan hasil penemuan yang diberikan oleh Jawatankuasa Siasatan.

“Bukan setakat meningkatkan mutu perkhidmatan RapidRail, tetapi penemuan dan cadangan ini juga akan dapat meningkatkan infrastruktur perkhidmatan kereta api Malaysia untuk jangka panjang di masa hadapan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button