Berita Utama

Perlu lebih 300,000 suntikan vaksin sehari untuk capai imuniti kelompok

Jangkitan sporadik akan berkurangan selepas 50 peratus penduduk divaksinasi

KUALA LUMPUR, 27 Syawal 1442H, Selasa – Malaysia perlu memberi suntikan vaksin kepada 300,000 hingga 500,000 orang sehari bagi mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.

Pakar Epidemiologi Universiti Malaya, Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata, terdapat keperluan menambah vaksinasi berikutan jumlah kes sporadik ketika ini meningkat dan kebimbangan tempoh kebolehjangkitan COVID-19 telah mencapai 21 hari.

“Melaksanakan sekatan dengan banyak pergerakan dan hubungan antara orang ramai bererti kes sporadik akan terus merebak. Langkah ini bersifat sementara, dan kes akan meningkat lagi selepas lockdown dua atau tiga bulan.  

“Penyelesaian yang lebih kekal adalah dengan mendorong vaksinasi secepat mungkin untuk menghentikan penularan virus bagi mencapai imuniti kelompok,” katanya. 

Beliau berkata, matlamat sasaran untuk memberikan 150,000 suntikan vaksin sehari pada bulan ini dan meningkatkannya menjadi 200,000 pada bulan berikutnya tidak mencukupi.

“Sasarannya harus melebihi 300,000 suntikan setiap hari untuk berjaya mencapai vaksinasi 25 juta orang akhir tahun. Ini kerana setiap orang perlu menerima dua suntikan, bermakna 50 juta suntikan, perlu diberikan.

“Itu menjadikan kita memerlukan sekitar enam bulan vaksinasi berterusan dengan 300,000 suntikan sehari,” kata Ketua Jawatankuasa Penasihat Vaksinasi Bebas COVID-19 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi seperti dilapor New Straits Times.

Dr Awang Bulgiba berkata, tindakan ini mesti dilakukan sebelum varian baharu muncul di kalangan masyarakat.  

Setelah sasaran 80 peratus dicapai, seterusnya kanak-kanak pula boleh mendapatkan vaksinasi dan ini sekali gus akan mencapai imuniti kelompok, tanpa ada varian baru.

“Kita mungkin mulai melihat pengurangan jangkitan sporadik setelah 50 peratus penduduk divaksinasi, kerana ia akan sangat mengurangkan penularan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button