Berita Utama

Sultan Selangor kecewa dengan golongan antivaksin

Rakyat jangan mudah terpengaruh pemahaman terpesong

BANGI, 27 Syawal 1442H, Selasa – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa dan tidak berkenan dengan kewujudan golongan antivaksin di negeri ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani memaklumkan, baginda berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pemahaman terpesong seumpamanya.

Bahkan, Sultan Selangor percaya vaksin mampu menyelamatkan nyawa individu dan juga sesebuah komuniti masyarakat khususnya daripada wabak berbahaya seperti COVID-19.

“Baginda bimbang jika masih ada individu atau kumpulan yang berdegil untuk menerima suntikan vaksin COVID-19, sasaran untuk mencapai imuniti kelompok (herd immunity) menjelang akhir tahun ini tidak akan tercapai, sekali gus meletakkan negara ini dalam krisis wabak yang lebih meruncing dan berbahaya.

“Baginda turut berdukacita melihat angka-angka harian kes positif baharu di Selangor yang sentiasa menunjukkan peningkatan dengan jumlah kumulatif kes positif sehingga 7 Jun mencecah 203,520 kes, serta jumlah kematian yang amat membimbangkan (961 kematian sehingga 7 Jun).

“Justeru, baginda berharap agar Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat negeri Selangor,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin turut terkejut apabila disahkan oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bahawa sehingga 1 Jun, Selangor hanya menerima 615,20 dos vaksin dan bukannya 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini.

Tegas baginda, adalah tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan jumlah populasi keseluruhan penduduk Selangor yang berjumlah 6.5 juta orang.

“Baginda juga suka untuk mengingatkan bahawa Selangor merupakan penyumbang terbesar bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan untuk negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, Sultan Selangor bertitah dalam situasi sekarang, nyawa rakyat haruslah diberi keutamaan berbanding agenda-agenda lain selain itu baginda juga mahu agar jumlah pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini ditambah, khususnya di kawasan luar bandar.

Jelasnya, baginda berpandangan pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak mampu mempercepatkan proses dan meluaskan liputan vaksinasi.

“Baginda turut memuji langkah Kerajaan Selangor ketika ini yang agresif melakukan ujian saringan (swab test) COVID-19 secara percuma untuk rakyat di seluruh pelusuk negeri.

“Baginda menasihatkan kepada rakyat yang sudah menerima suntikan vaksin COVID-19 supaya kekal dalam keadaan waspada dan berhati-hati.

“Pada masa sama, baginda merayu sekalian rakyat agar terus tekun mematuhi arahan-arahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Sultan Sharafuddin juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan menyampaikan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan di hospital kerajaan dan swasta.

Termasuk klinik kesihatan yang masih bertungkus-lumus menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan penuh komited dan berdedikasi, demi memastikan kesejahteraan serta kesihatan rakyat sentiasa terpelihara.

“Baginda berharap seluruh rakyat dapat menghargai pengorbanan frontliners ini dan memberikan kerjasama penuh dalam usaha mengawal dan menghapuskan pandemik COVID-19 di negara ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button