Berita Utama

JAKOA komited tingkatkan kesedaran vaksinasi

Setakat ini jumlah Orang Asli daftar untuk vaksin terlalu rendah

KUALA BERANG, 28 Syawal 1442H, Rabu – Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan memainkan peranan lebih besar bagi memastikan masyarakat Orang Asli turut menyertai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata kempen dengan lebih agresif akan dilakukan JAKOA bagi meningkatkan kesedaran Orang Asli tentang bahaya COVID-19 serta pentingnya pengambilan vaksin bagi mencegah jangkitan itu.

“’Setakat ini jumlah mereka yang mendaftar untuk pengambilan vaksin COVID-19 terlalu rendah.

JAKOA komited untuk meningkatkan kesedaran dan bergerak bersama untuk menghentikan wabak COVID-19,” katanya ketika melawat Perkampungan Orang Asli Sungai Berua, di sini.

Turut hadir pada lawatan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu.

Menurut Abdul Rahman JAKOA telah mengedarkan 79,041 borang pendaftaran dan daripada jumlah itu seramai 15,307 orang telah menyatakan persetujuan mereka untuk menerima suntikan vaksin setakat ini.

“Jumlah yang bersetuju menerima vaksin menunjukkan bahawa kesedaran Orang Asli untuk divaksin perlu dipertingkatkan dengan lebih agresif lagi,” katanya.

Untuk rekod, seramai 3,018 Orang Asli telah menerima dos pertama vaksin dan sejumlah 1,330 individu telah menerima dos vaksin kedua.

Sehubungan itu, beliau berkata kementerian bersama JAKOA dan pihak berkaitan akan memperluaskan program penerangan mengenai kepentingan vaksin kepada Orang Asli melalui pelbagai kaedah termasuk secara dalam talian.

“Mungkin mereka ini tidak mendapat penjelasan yang sebenar. Untuk itu, kementerian akan menyusun kembali strategi dan program dengan agensi-agensi berkaitan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button