Berita Utama

Masjid diserang 5 maut, 40 jemaah diculik di Nigeria

Serangan didakwa dilakukan oleh kumpulan bersenjata

ABUJA, 7 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Sekurang-kurangnya lima jemaah terbunuh dan 40 yang lain diculik ketika lelaki bersenjata menyerang sebuah masjid di barat laut Nigeria, lapor Agensi Anadolu, memetik laporan media tempatan pada Ahad.

Serangan oleh kumpulan bersenjata itu berlaku di sebuah masjid di negeri Zamfara dan Imam masjid tersebut antara yang dilaporkan diculik.

Jurucakap Polis Negeri Zamfara, Muhammed Shehu berkata pasukan keselamatan dihantar ke wilayah itu bagi menjalankan siasatan.

Di bahagian barat laut negeri itu pertelingkahan sering berlaku antara penternak dari kalangan masyarakat Fulani, satu daripada etnik terbesar di Afrika Barat, dan suku-suku lain yang berpindah-randah.

Fulani, yang berhijrah ke selatan untuk mencari padang ragut buat ternakan mereka, mendakwa petani di kawasan itu cuba mencuri ternakan dan menyerang orang-orang mereka.

Kumpulan bersenjata adakalanya mengambil kesempatan di sebalik konflik itu dan mengatur serangan.

Hampir 2,000 orang kehilangan nyawa di rantau ini dengan ribuan yang lain hilang tempat tinggal. Selepas menandatangani perjanjian “mengakhiri permusuhan” antara beberapa kumpulan bersenjata pada Ogos 2019, lebih 2,000 anggota meletakkan senjata mereka. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button