Berita Utama

PBB sokong Guterres jadi Setiausaha Agung untuk penggal ke-2

Berdasar prestasi 5 tahun, beliau layak galas tanggungjawab tersebut

NEW YORK, 28 Syawal 1442H, Rabu – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa menyokong pencalonan Setiausaha Agung António Guterres untuk penggal kedua bagi tempoh lima tahun.

Duta Besar Estonia untuk PBB, Sven Jurgenson, yang bertindak sebagai presiden Majlis Keselamatan bagi Jun, mengumumkan sokongan itu selepas mesyuarat tertutup majlis itu, lapor Xinhua.

Majlis Keselamatan, dalam mesyuarat tertutup itu, menerima resolusi itu dengan sebulat suara, katanya.

“Majlis Keselamatan, setelah mempertimbangkan cadangan untuk pelantikan Setiausaha Agung PBB, mengesyorkan kepada Perhimpunan Agung agar António Guterres dilantik semula sebagai Setiausaha Agung PBB untuk penggal kedua dari 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026, ” dengan membaca kenyataan Resolusi 2580.

Jurgenson mengatakan Perhimpunan Agung akan mengadakan sesi pada 18 Jun mengenai pelantikan Guterres untuk penggal kedua. Guterres adalah satu-satunya calon rasmi kerana tidak ada negara yang mencadangkan calon, kata Jurgenson.

Menurut beliau, Guterres telah membuktikan beliau layak menggalas tugas itu berdasarkan prestasinya dalam tempoh lima tahun memegang jawatan.

“Kita semua telah menyaksikan, sebenarnya, setiausaha agung yang menggerakkannya. Saya fikir beliau telah menjalankan tugasnya dengan sangat baik,” katanya dalam sidang media.

Jurgenson memuji Guterres sebagai perantara dan memuji pandangannya mengenai zon konflik di dunia.

“Beliau mampu berbicara dengan semua orang, saya fikir ini yang kita harapkan daripada seorang setiausaha agung,” katanya.

Guterres mengucapkan terima kasih kepada Majlis Keselamatan atas sokongan itu.

“Keputusan Majlis Keselamatan untuk mengesyorkan kepada Perhimpunan Agung agar saya dilantik sebagai Setiausaha Agung PBB bagi penggal kedua adalah satu penghormatan yang besar. Saya sangat berterima kasih kepada anggota majlis atas kepercayaan yang mereka berikan. Terima kasih juga kepada Portugal kerana mencalonkan saya sekali lagi, ” katanya dalam satu kenyataan.

Guterres, 72, menjadi Setiausaha Agung PBB kesembilan pada 2017. Sebelum itu, beliau merupakan Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian selama 10 tahun. Guterres merupakan Perdana Menteri Portugal dari 1995 hingga 2002.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button