Berita Utama

Relawan Muda ISMA lancar Tabung Bantuan Bencana sasar RM2 juta

Fokus bantu masyarakat memerlukan khususnya sepanjang PKP

BANGI, 28 Syawal 1442H, Rabu – Relawan Muda ISMA (RMI) melancarkan Tabung Bantuan Bencana, bagi mengajak orang ramai bersama-sama mengumpul dana untuk membantu masyarakat yang memerlukan.

Melalui tabung itu, RMI memfokuskan beberapa bentuk bantuan termasuk bantuan awal bencana, keperluan asas asnaf dan B40, baik pulih rumah persendirian dan bangunan awam serta bantuan pendidikan miskin bandar.

Ketua Pemuda ISMA, Mohd Sahrularifin Ab Manan berkata, sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 sehingga kini, lebih 10,000 keluarga di seluruh negara menerima bantuan asas dengan agihan berjumlah RM1 juta.

Beliau berkata, RMI antara pihak yang ke hadapan membantu kerajaan Pahang dalam memberikan bantuan air bersih ketika banjir yang melanda negeri itu pada awal tahun 2021.

“Lebih 50 tangki air statik diletakkan di lokasi strategik banjir berserta dua lori tangki air 40 kaki digerakkan ke kawasan banjir bagi mengangkut air bersih kepada mangsa.

“Relawan Muda ISMA juga adalah sebuah badan berdaftar dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sudah dilantik menjadi Agen Basmi COVID-19 (ABC19), di mana sukarelawan RMI akan digerakkan bagi membantu pendaftaran vaksin dan membawa penduduk sekitar yang memerlukan bantuan ke Pusat Pemberian Vaksin berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Sahrularifin berkata, Tabung Bantuan Bencana yang dilancarkan ini menyasarkan kutipan sehingga RM2 juta.

“Terbaru, RMI telah melancarkan Tabung Bantuan Bencana: Kebakaran Mersing bagi membantu sekeluarga di daerah itu yang tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran rumah mereka pada 31 Mei lalu.

“Wakil RMI sudah berjumpa dengan keluarga ini dan memberi bantuan berupa komputer riba (digunakan untuk peperiksaan UIA) dan wang sejumlah RM10,000.

“Kempen ini menyasarkan kutipan RM200,000 bagi membina semula kehidupan mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin memberikan sumbangan bolehlah menyalurkan ke akaun Tabung Bantuan Bencana, Persatuan Sukarelawan ISMA di 8604718222 (CIMB).

Mana-mana individu, agensi korporat dan kerajaan yang ingin bersama dalam kempen berkenaan juga boleh menghubungi [email protected] atau Ketua Koordinator Relawan Muda ISMA, Tuan Syed Abd Hadi Syed Malick di talian 019-6955743.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button