Berita Utama

Insiden ‘Freedom For Palestine’ memalukan!

Orang di Eropah tanpa segan silu bertakbir, kita di negara Islam pula takut-takut?

BANGI, 8 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Perunding Kanan Politik dan Perundangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya kesal dengan insiden yang berlaku dalam himpunan ‘Freedom For Palestine’ di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, peserta yang hadir ke himpunan itu dengan begitu keras tidak dibenarkan melaungkan kalimah ‘Allahuakbar’ sedangkan penganjurnya adalah figura-figura yang beragama Islam.

“Tatkala orang-orang Islam di Eropah yang berhimpun bersolidariti buat Palestin tanpa segan silu bertakbir dengan begitu bangga (bersama-sama orang bukan Islam yang lain), kita pula di negara Islam jadi takut-takut tanpa sebab yang kukuh pula. Pelik betul.

“Apakah bagi penganjur himpunan semalam kalimah ‘Allahuakbar’ itu dianggap ofensif dan menyinggung perasaan orang bukan Islam?

“Kalaulah benar ianya sesuatu yang menyinggung, penganjur yang berkuasa penuh memegang mikrofon sepatutnya menerangkan bagaimana kalimah takbir itu adalah laungan yang menyatupadukan umat Islam termasuklah orang-orang Palestin sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lebih menghairankan lagi, katanya, apabila plakad-plakad yang mengutuk Perdana Menteri Israel diarah untuk diturunkan sehingga penganjur melabel pembawa plakad tersebut bersikap seperti Zionis.

“Entah apalah yang ada di benak fikiran sehingga sanggup melabelkan umat Islam yang hadir melaungkan semangat jihad sebagai Zionis? Sangatlah pelik.

“Saya difahamkan bahawa ada beberapa ahli politik utama kerajaan yang hadir sebagai speaker dan undangan VIP ke himpunan itu. Saya harap mereka keluarkan kenyataan mengutuk insiden tersebut dan menyatakan kegagalan himpunan ini.

“Siapa sebenarnya di sebalik insiden yang begitu jelek ini? Memalukan sungguh,” katanya.

Beliau menegaskan, sokongan terhadap nasib Palestin mesti tanpa apologetik kerana ianya bukan isu kemanusiaan semata-mata.

Tegasnya, sebagai muslim ianya juga adalah isu akidah.

“Apabila ianya berkenaan akidah, maka tiada kompromi!” tegasnya.

Media sebelum ini melaporkan, rata-rata yang menghadiri Himpunan Freedom For Palestine meluahkan rasa kecewa dan berang terhadap penganjur yang bersikap kurang ajar terhadap peserta.

Himpunan itu dianjurkan Viva Palestina Malaysia (VPM) dan MyCARE bagi menunjukkan tanda solidariti kepada Palestin.

Namun, apa yang mengejutkan adalah apabila Pengerusi VPM, Datuk Dr Musa Mohd Nordin melabelkan peserta yang mengangkat plakad ‘Netanyahu Penjenayah Perang’ bersikap seperti Zionis Israel.

Susulan kontroversi itu, Dr Musa memberi penjelasan bahawa pasukan keselamatannya menganggap plakad mahupun gambar yang memaparkan wajah Netanyahu sebagai satu tindakan provokasi.

Memetik kenyataan dilaporkan Scoop, beliau mempertahankan pendiriannya yang mengarahkan supaya peserta menurunkan plakad yang mengutuk Netanyahu.

“Saya tidak kata dia Zionis. Saya kata kita tidak sepatutnya ke tahap Zionis,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button