Berita Utama

Apa guna ‘total lockdown’ tapi kluster tempat kerja ‘hari-hari bertambah’

Sia-sia kalau kerajaan masih lagi buat PKP main-main

BANGI, 29 Syawal 1442H, Khamis – Penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara yang akan berakhir 14 Jun ini dilihat tidak mampu memuaskan hati rakyat.

Ini kerana kluster melibatkan tempat kerja masih terus berlaku walaupun kerajaan hanya membenarkan sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk beroperasi.

Berikutan itu, rata-rata netizen mempersoalkan manfaat PKP dilaksanakan selain menyifatkan ia sebagai sia-sia kerana sektor yang mencetuskan banyak kluster dibenarkan beroperasi.

“Baik tak payah PKP. Yang tak cetus banyak kluster di suruh duduk rumah. Yang mencetus banyak kluster disuruh beroperasi.

“Bukannya suruh tutup lama-lama. Paling tidak dua minggu saja. Faham ekonomi penting, tapi kalau tidak ada kesihatan, mana datangnya ekonomi, siapa yang nak buat kerja,” soal Yop Man.

Warganet dikenali Nassa Aryu pula menganggap tempoh 14 hari ini sia-sia sekiranya PKP tidak dilaksanakan secara serius.

“Nampaknya 14 hari lagi yang sia-sia kalau kerajaan masih lagi buat PKP main-main.

“Kluster tempat kerja yang banyak tapi banyak tempt kerja yang dibenar beroperasi,” katanya.

Berlainan pula dengan Mohd Yusof yang menyarankan pihak kerajaan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memikirkan satu cara bagi mengelakkan kebocoran di sana sini akibat dari jangkitan di tempat kerja.

Cadangan itu katanya, jika mahu sektor perkilangan beroperasi ketika tempoh ‘lockdown’ ini.

Sebagai contoh, mewajibkan setiap individu yang bekerja sepanjang tempoh ‘lockdown’ menjalani saringan COVID-19 terlebih dahulu sebelum dibenar untuk bekerja.

“Dengan cara ini sekurang-kurangnya dapat mengelakkan mereka yang mungkin sudah positif COVID-19 tapi masih belum dapat dikesan, boleh menjangkiti rakan di tempat kerja.

“Atau diberi keutamaan untuk menerima vaksin (bagi yang sudah mendaftar) terlebih dahulu sebelum dibenar untuk bekerja.

“Mungkin dengan cara ini juga dapat mengelakkan jangkitan, dan sekiranya dijangkiti juga setidak-tidaknya kita dapat mengurangkan kesan sampingan yang serius disebabkan COVID-19,” katanya.

Hari ini 22 kluster baharu dilaporkan melibatkan 18 kluster tempat kerja, 3 komuniti dan 1 kluster keagamaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button