Berita Utama

Negara perlu PRU progresif demi jaga sentimen pelabur

Sejak 1999 PRU bersifat regresif iaitu jatuhkan pemimpin bermasalah

BANGI, 17 Rabiulawal 1444H, Jumaat – Malaysia memerlukan pilihan raya umum (PRU) yang progresif bagi memastikan sentimen pelabur tidak terjejas sekiranya berlaku perubahan Kabinet.

Ini kerana PRU untuk menaikkan pemimpin dan kerajaan yang dilihat ada visi untuk negara membolehkan pelabur memiliki kepercayaan terhadap kredibiliti pilihan raya Malaysia sebagai sebuah proses mencari pemimpin yang kuat untuk meneruskan kemajuan, bukannya pesta memilih berakhir dengan ketidaktentuan.

Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute, Ustaz Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, sejak pilihan raya 1999 sehingga ke tahun ini, pilihan raya regresif berlaku iaitu untuk menjatuhkan pemimpin dan kerajaan yang dilihat bermasalah.

“Dalam erti kata lain, dalam pilihan raya di tempoh itu, masyarakat memilih untuk membuang apa yang mereka tidak mahu sama ada sebab faham atau tidak, itu satu isu juga.

“Masyarakat tidak memilih untuk menaikkan apa yang mereka sebenarnya mahu untuk masa depan negara dan bangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, jika muncul satu pemain politik yang berjaya menjadi nakhoda baharu kepada bahtera yang membawa masyarakat kepada satu arus baharu, maka pemain politik itu bakal menghentikan rantaian tersebut.

“Jika itu berlaku, pilihan raya seterusnya adalah siri-siri mencari pemimpin yang sentiasa berlumba menawarkan pertanggungjawaban terhadap cita-cita dan impian negara dan bangsa.

“Yang bermasalah gugur sendiri dan tak perlu muncul lagi bertanding dalam pilihan raya, kerana rakyat sendiri tidak melihat mereka sebagai layak bertanding walaupun popular,” katanya.

Berikutan itu, beliau yakin, jika berlaku pilihan raya dan perubahan Kabinet sentimen pelabur tidak terjejas.

“Itu adalah PRU yang progresif yang perlu berlaku dalam konteks membangun negara dan bangsa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button