Berita Utama

Allahyarham Harussani sempurnakan tanggungjawab sebar syiar Islam tanpa jemu

Sepanjang hayat pegang prinsip berlandas al-Quran, as-sunah

IPOH, 30 Syawal 1442H, Jumaat – Allahyarham Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang meninggal dunia pada 30 Mei lepas, telah menyempurnakan tanggungjawabnya tanpa mengenal jemu atau bosan dalam menyebarkan syiar Islam.

Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim berkata sepanjang hayatnya, Allahyarham berpegang teguh kepada prinsip berlandaskan al-Quran dan as-sunah, serta logik qias yang bernas dalam usahanya mentarbiahkan umat Islam.

“Sepanjang hayatnya, agama Islam, Institusi Raja Melayu, orang Melayu, kedudukan dan pencapaian ummah dari sudut pendidikan dan ilmu, taraf sosial dan kemajuan ekonomi, perpaduan dan penguasaan politik, merupakan mauduk-mauduk yang sangat dekat di hati beliau.

“Allahyarham juga menyuarakan peringatan bahawa pentingnya peranan raja pemerintah sebagai payung agama Islam dan benteng pertahanan adat Melayu,” kata Zamri sewaktu membacakan khutbah Jumaat bertajuk ‘Ulama Pembimbing Ummah’ di Masjid Negeri hari ini.

Teks khutbah itu turut dibacakan di masjid dan surau Jumaat di seluruh negeri Perak.

Justeru, Zamri dalam khutbahnya menyatakan kehilangan Allahyarham Harussani tiada tolok gantinya, antara ulama dipandang mulia serta diberikan penghormatan tinggi malah kehadirannya sangat dihargai pelbagai lapisan masyarakat.

“Mungkin telah sampai waktunya, insan yang layak digelar murabbi ini berehat di sisi-Nya, meninggalkan amanat dan tanggungjawab untuk diteruskan oleh kita di dunia ini,” katanya.

Allahyarham Harussani, 82, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button