Berita UtamaIstimewa

Berterusan hentam sistem pendidikan negara, Dong Zong dah tak patut wujud

Dong Zong yang tak sedia asimilasi dengan sistem pendidikan kebangsaan

 

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 30 Syawal 1442H, Jumaat – Dakwaan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bahawa sistem pendidikan di negara ini ‘terperangkap’ dalam sistem yang bersifat tunggal, adalah tidak benar sama sekali. 

Ini kerana, tegas Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Ustaz Mohd Azizee Hasan, sistem pendidikan Malaysia meraikan kepelbagaian.

“…kalau tidak, masakan sekolah-sekolah kelolaan Dong Zong masih kekal beroperasi hingga kini?,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Mohd Azizee berkata, di Malaysia terdapat sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, sekolah antarabangsa dan sekolah swasta. 

Sistem pendidikan di negara ini juga, tegasnya, meraikan konsep pelbagai bahasa (multi language) dan bukan satu bahasa.

“Kerana itulah kerajaan membenarkan wujudnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

“Apa yang paling utama, semua sistem yang dibenarkan tadi mesti patuh kepada kurikukum kebangsaan, menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan mengguna pakai sistem pentaksiran kebangsaan. Semua tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan, tidak wajar pihak Dong Zong mendakwa dan ‘menghentam’ pendidikan di Malaysia ini terperangkap dalam sistem yang tunggal. 

“Apa yang menjadi persoalan sekarang ini adalah pihak Dong Zong yang tidak bersedia untuk berasimilasi dengan sistem pendidikan kebangsaan.

“Jika Dong Zong terus menerus mencabar sistem sedia ada, tidak wajar kerajaan untuk masih mengekalkan kewujudan ia di negara ini.

“Kalau ia bertentangan, pihak kerajaan perlu lakukan sesuatu. Dalam hal ini, ia hanya menunjukkan kerajaan gagal menguruskan Dong Zong,” katanya.

Terdahulu, The Malaysian Insight melaporkan bahawa Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim kesal dengan pendidikan negara yang terperangkap dalam sistem yang bersifat tunggal sedangkan Malaysia adalah negara yang penuh dengan kepelbagaian.

Katanya, sekolah pelbagai aliran membolehkan ada nilai persaingan yang mengkayakan ciri kepelbagaian dalam masyarakat.

Dia turut mahu kerajaan memelihara pendidikan aliran lain selain memelihara perkembangan pendidikan Cina, dengan menggalakkan ia berkembang bersama bagi memastikan nilai kepelbagaian terus wujud.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button