Berita Utama

PAS, Warisan nafi sokong Hishammuddin sebagai PM baharu

Tindakan orang kemaruk kuasa sampai sanggup palsu tandatangan: Loretto

KUALA LUMPUR, 30 Syawal 1442H, Jumaat – Parti Warisan Sabah (Warisan), hari ini menafikan isi kandungan kenyataan bersama PAS yang tular menyokong Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr menyifatkan ia sebagai fitnah dan merupakan tindakan orang yang kemaruk dengan kuasa.

“Saya menyangkal sekeras-kerasnya isi kandungan kenyataan media PAS bertarikh 11 Jun 2021 tersebut yang mana saya sama sekali tidak pernah sama ada bagi pihak Warisan mahupun atas kapasiti peribadi untuk mempersetujui atau menandatangani apa-apa persetujuan muafakat bersama PAS untuk menyokong mana-mana individu sebagai Perdana Menteri. 

“Warisan tidak pernah terlibat dengan kenyataan media itu. Perbuatan seperti ini adalah tindakan orang-orang yang kemaruk kuasa sehingga sanggup memfitnah dan memalsukan tandatangan saya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan yang tular itu turut memalsukan tandatangannya dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Loretto berkata, tindakan akan diambil selepas berbincang dengan peguamnya berhubung perkara itu.

“Saya akan membuat laporan polis selepas berbincang dengan peguam saya berkenaan perkara ini,” katanya.

Sementara itu, PAS turut menafikan mempunyai sebarang kerjasama dua pihak dengan Warisan bagi memberi sokongan kepada Hishammuddin.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, tuduhan tersebut adalah tidak benar dan surat yang tular di beberapa platform media sosial adalah palsu.

“Saya menafikan kenyataan tersebut dan ia telah mendapat pengesahan bahawa maklumat tersebut adalah palsu,” katanya kepada Harakahdaily.

Kenyataan tersebut terkandung isi yang menyatakan kedua-dua parti bersepakat untuk menyokong Hishammuddin sebagai Perdana Menteri.

Ia kononnya bagi menyelamatkan negara daripada terus berada dalam krisis kesihatan akibat COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button