Berita Utama

Pelik! Tun M bantah darurat tapi cadang MAGERAN

Rakyat tetap tolak MAGERAN dan ‘Darurat PM 8’

BANGI, 30 Syawal 1442H, Jumaat – Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan sebagai satu tindakan yang pelik.

Walhal, katanya, bekas Perdana Menteri itu sebelum ini lantang membantah perisytiharan proklamasi darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Lebih membimbangkan, kata Puad, jika MAGERAN ditubuhkan dan diketuai oleh Ahli Parlimen Langkawi itu, maka besar kemungkinan ia berlanjutan dalam tempoh yang lama.

“Pelik Tun M ini. Dia bantah darurat, dia bantah gantung Parlimen tapi dia cadang MAGERAN. Rakyat tetap tolak MAGERAN dan ‘Darurat PM 8’.

“Kemudian dia tawar diri untuk kembali berkhidmat. Sudah tentu sebagai Pengarah MAGERAN. 

“Kalau Tun M jadi pengarah, pasti MAGERAN sukar ditamatkan. Mujur dia bukan PM. Tidak ada sebab YDPA ikut nasihat dia,” katanya dalam tulisan di laman Facebook, hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata, cadangan penubuhan MAGERAN itu dikemukakan atas keyakinan ia mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara, kesan penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan kejayaan penubuhan MAGERAN pada 1969 yang diketuai Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, menyelesaikan masalah politik dihadapi ketika itu dan negara kekal stabil untuk tempoh panjang.

Ketika ditanya siapa yang perlu mengetuai MAGERAN, Dr Mahathir berkata, beliau mencadangkan dirinya untuk memimpin, namun tidak bermasalah jika individu lain mengetuainya, selagi mana beliau dan partinya boleh menyumbang idea.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Marzuki Mohamad berkata, cadangan penubuhan MAGERAN bukan langkah sesuai kerana akan merencatkan perancangan kerajaan untuk memulihkan krisis kesihatan dan ekonomi ketika ini.

Katanya lagi, Malaysia sekarang ini mempunyai sebuah kerajaan dan Kabinet yang berfungsi, berbeza dengan 1969 di mana Kabinet belum dibentuk selepas Pilihan Raya Umum 1967 dan kerajaan yang ada hanya sebuah kerajaan sementara atau ‘care taker government’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button