Berita Utama

Perubahan budaya penting untuk organisasi laksana transformasi: BNM

Organisasi mesti manfaat pembelajaran digital untuk capai impak lebih besar

KUALA LUMPUR, 30 Syawal 1442H, Jumaat – Perubahan budaya perlu menjadi teras dalam mana-mana organisasi yang mahu kekal relevan, inovatif dan merealisasikan transformasi walaupun ia merupakan aspek yang paling mencabar dalam usaha tersebut, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Marzunisham Omar.

Beliau berkata sebarang usaha untuk memacu transformasi tidak mungkin berjaya sekiranya wujud tentangan terhadap gesaan itu.

“Sebagai sebuah organisasi, Bank Negara Malaysia juga perlu menilai dan memikirkan dengan teliti mengenai bagaimana kami bekerja, dan mempertimbangkan kaedah lebih baik untuk menerapkan norma dan budaya korporat yang diinginkan.

“Apa yang kita pupuk secara sedar dari semasa ke semasa telah menjadi satu budaya kolaboratif yang kuat dan apa yang kita ingin kekalkan supaya menjadi lebih adalah sikap terbuka untuk lebih bereksperimen, belajar daripada kesilapan dengan lebih cepat di samping memperkukuh budaya bimbingan dan maklum balas,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di Forum Ketua Pegawai Pembelajaran 2021.

Beliau berkata mandat dasar bank pusat juga melalui ujian tekanan secara dalaman dari segi budaya kerja apabila rakan sekerja digalakkan bersuara dan saling mencabar supaya langkah itu dapat mengurangkan isu kurang memahami dalam kalangan mereka.

Dalam usaha untuk mencapai hasil yang diinginkan, BNM menyedari perlunya pemimpin di semua peringkat organisasi menunjukkan tingkah laku yang tepat untuk memperkuat budaya kepercayaan, integriti, kolaborasi dan inovasi yang disasarkan.

Marzunisham berkata pada pandangannya, organisasi tidak mempunyai pilihan selain perlu menyediakan penambahan kemahiran dan pemerolehan kemahiran baharu dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja.

Beliau berkata usaha membangunkan bakat, perancangan bagi penggantian, proses membantu pekerja baharu menyesuai dengan aspek sosial dan prestasi kerja serta memiliki pembelajaran korporat yang baik secara berterusan adalah teras organisasi berprestasi tinggi yang berjaya.

Akhir sekali, organisasi mesti memanfaatkan pembelajaran digital untuk mencapai impak yang lebih besar, katanya.

“Tahun lepas telah menyaksikan perubahan secara paksa daripada pembelajaran kelas secara tradisional kepada saluran maya. Ini telah mendorong peningkatan dalam aspek pembelajaran mampu diri dan dalam talian.

“Memandangkan wujudnya laluan pembelajaran adaptif yang dijana oleh algoritma dan kecerdasan buatan, ramai boleh belajar dengan lebih pantas berdasarkan keperluan pembelajaran unik masing-masing,” katanya.

Marzunisham berkata pandemik COVID-19 berlaku pada satu tempoh ketika dunia mengalami perubahan pesat di samping landskap ekonomi dan kewangan yang berkembang, dengan pandangan dari satu aspek bahawa situasi itu telah meningkatkan kebergantungan antara ekonomi dan syarikat manakala dari sudut lain pula memperlihatkan persaingan semakin sengit. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button