Berita UtamaDunia

Palestin akan mula beri suntikan vaksin ketiga

Dos ketiga ditawar kepada kakitangan perubatan, warga emas dan pesakit

GAZA, 15 Muharram 1443H, Selasa –  Palestin memutuskan untuk memberikan suntikan ketiga vaksin COVID-19 kepada rakyat dan kelompok tertentu, lapor Anadolu Agency.

Keputusan itu diambil selepas mesyuarat jawatankuasa kecemasan kebangsaan Palestin yang diadakan untuk memerangi COVID-19.

Perdana Menteri, Mohammed Ishtayeh memberi amaran bahawa kes COVID-19 semakin meningkat di Tebing Barat dan Gaza.

Serentak itu, dos ketiga akan ditawarkan kepada kakitangan perubatan, warga emas dan pesakit.

Beliau turut menggesa kakitangan pendidikan dan pelajar untuk mengambil vaksin COVID-19 bagi membantu meneruskan pembelajaran secara bersemuka dengan risiko yang paling sedikit.  

Katanya, pihak berkuasa kesihatan sedang mempersiap untuk menawarkan vaksin itu kepada pelajar berusia lebih 16 tahun.

Semenanjung Gaza turut mengalami gelombang coronavirus ketiga dan tersebar dengan lebih pantas daripada sebelumnya, kata Timbalan Ketua Pengarah Penjagaan Kesihatan Primer di Kementerian Kesihatan, Majdy Dahir, dalam satu persidangan, semalam.

Dahir menjangkakan peningkatan jumlah jangkitan COVID-19 yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam beberapa minggu akan datang.

Katanya, sampel telah dikirim ke makmal untuk diperiksa secara bersama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengetahui varian dan penyebaran jangkitan.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin  mengesahkan sebanyak 356,875 kes, termasuk 3,910 kematian. 

Menurut Kementerian Kesihatan, 712,501 orang telah menerima vaksin coronavirus, termasuk 439,024 selesai menerima dua dos.

Hari ini, Palestin akan menerima 200,000 dos vaksin Moderna yang disumbangkan oleh Amerika Syarikat (AS) melalui mekanisme program Akses Sejagat Vaksin COVID-19 (COVAX). – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button