Berita Utama

Tiada keperluan MAGERAN wujud ketika darurat pandemik: Pakar

Kerajaan masih jalan tugas dengan baik tangani krisis kesihatan, ekonomi

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 30 Syawal 1442H, Jumaat – Tiada keperluan untuk Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) diwujudkan buat masa ini, bagi menangani krisis kesihatan, ekonomi dan ketidakstabilan politik yang dihadapi negara.

Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpendapat, MAGERAN hanya diperlukan sekiranya kerajaan sedia ada jelas lemah dan tidak kompeten dalam mentadbir.

Bagaimanapun, beliau merasakan kerajaan sekarang – yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin – masih menjalankan tanggungjawab serta tugas dengan baik.

Beliau berkata, meskipun MAGERAN pernah diwujudkan pada tahun 1969 setelah berlakunya peristiwa 13 Mei, namun situasi dahulu berbeza dengan keadaan negara kini untuk kembali memerlukan fungsi majlis berkenaan.

“Pada tahun 1969, MAGERAN ditubuhkan sebab kerajaan baru dilantik selepas pilihan raya. Timbul pula peristiwa hitam yang menggugat keselamatan dan keamanan negara. 

“Kerajaan yang baru dibentuk memerlukan masa untuk berfungsi dengan baik. Sebab itu MAGERAN sesuai pada masa itu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, tumpuan utama MAGERAN ketika itu adalah mengawal ketenteraman awam dan menyelesaikan isu pertikaian antara kaum serta memantapkan perpaduan, selain memastikan jentera kerajaan berjalan seperti biasa dalam suasana darurat.

Namun, Prof Nik Ahmad Kamal berkata, situasi darurat pada waktu itu berbeza dengan sekarang, yang diisytihar bagi tujuan menangani wabak pandemik COVID-19.

“Sebelum darurat pandemik ditangani menggunakan undang-undang biasa, Akta 342 di samping undang-undang lain.

“Bila darurat bermula, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 digubal untuk menambah baik pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang seperti menaikkan jumlah kompaun serta tindakan-tindakan lain.

“Selain itu, hanya Parlimen tidak dibenarkan bersidang dan apa jua bentuk pilihan raya ditangguhkan,” katanya.

Maka, dalam konteks itu, beliau berkata, Perdana Menteri dan kerajaan semasa tidak melihat perlunya wujud MAGERAN dan menasihati Yang di-Pertuan Agong bahawa kerajaan boleh berjalan seperti biasa.

Perlukah struktur kerajaan dipinda, MAGERAN diperkenalkan?

Menurut Prof Nik Ahmad Kamal, jika perubahan struktur kerajaan ketika darurat ingin dilakukan, Ordinan Darurat 2021 hendaklah dipinda dan diperuntukkan sebarang bentuk yang dikehendaki seperti mewujudkan MAGERAN.

“Persoalannya, perlu atau tidak pindaan struktur kerajaan sedia ada dan MAGERAN diperkenalkan? Ramai berpendapat bahawa sistem sedia ada berjalan baik dan hendaklah diteruskan.

“Ada yang menguar-uarkan mengenai kegagalan kerajaan menangani pandemik dan isu ekonomi. Namun masih ramai yang menyokong kerajaan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, ada juga pihak mendakwa bahawa kerajaan sekarang lemah dan tidak mempunyai sokongan majoriti kukuh di Dewan Rakyat.

“Jika benar, kenapa tiada sesiapa yang menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menunjukkan bukti mereka mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Saya rasa kerajaan telah menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun, kawalan pandemik banyak bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang dan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP).

Beliau turut menyifatkan kerajaan juga sudah berusaha bersungguh-sungguh ke arah mengatasi pelbagai masalah ekonomi.

“Apa yang perlu sekarang ialah tumpuan sepenuhnya untuk bertarung dengan COVID-19 dan menjaga ekonomi kita.

“MAGERAN tidak perlu masa ini. Sebarang krisis politik akan mencetuskan suasana yang lebih sukar kepada kerajaan,” katanya.

Beliau akui ramai yang mahu darurat ditamatkan dan Parlimen kembali bersidang, namun selagi negara belum mencapai imuniti berkelompok, Malaysia masih tidak bebas daripada pandemik.

“Lantas, beri ruang kepada kerajaan untuk menjalankan tanggungjawab mereka dengan lancar dan berkesan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button