Berita Utama

Wujudkan pusat vaksin di setiap Parlimen di Selangor

Ada penduduk terpaksa berjalan jauh demi dapatkan suntikan vaksin

KUALA SELANGOR, 30 Syawal 1442H, Jumaat – Kerajaan disyor menambah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan menempatkannya di 22 Parlimen di Selangor bagi memastikan kelancaran sekali gus mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, kekurangan PPV serta jaraknya yang jauh ketika ini menyebabkan ada penduduk yang terpaksa berjalan jauh bagi mendapatkan vaksin tersebut.

“PPV kalau diperbanyakkan akan mempermudahkan rakyat namun kita mengetahui kekangan dialami kerajaan ketika ini.

“Bagaimanapun, saya menzahirkan penghargaan kepada Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang telah bersetuju membuka sebuah lagi PPV di Parlimen Tanjong Karang,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Beliau berkata, ketika ini hanya terdapat satu PPV di Tanjong Karang berbanding Kuala Selangor yang mempunyai dua PPV.

Dalam pada itu, beliau menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung keperluan penambahan vaksin di negeri ini yang perlu seimbang dengan populasi rakyat.

“Data menunjukkan penduduk Selangor adalah yang paling ramai dijangkiti COVID-19 dengan pemberiannya perlu disegerakan supaya mencapai imuniti kelompok.

“Saya ada bangkitkan isu ini kepada Khairy dalam mesyuarat semalam kerana kerajaan tidak boleh bagi purata sama kerana kita lihat setiap negeri bilangan penerima berbeza.

“Khairy kemudiannya telah memaklumkan kepada semua yang hadir dalam mesyuarat itu menyatakan dos vaksin di Selangor akan ditambah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button