Dunia

India lancar kit ujian kendiri COVID-19 semurah RM14

Keputusan ujian calitan hidung diperoleh selepas 15 minit melalui kod QR

LANOVLA, 1 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Mylab Discovery Solutions, sebuah syarikat pemula di India berharap kit ujian COVID-19 yang murah dan pertama di negara itu akan membantu mengesan penyebaran wabak dalam kalangan 1.3 bilion penduduknya.

CoviSelf, yang dilancarkan pada awal bulan ini adalah kit ujian pertama diluluskan India dan boleh dilakukan sendiri di rumah, susulan hampir 30 juta orang dijangkiti selain lebih 350,000 kematian akibat gelombang kedua wabak itu.

Ramai pakar mengesyaki bahawa jumlah sebenar kes jangkitan adalah jauh lebih tinggi, dan menyalahkan ujian saringan yang tidak mencukupi serta catatan kematian pesakit tidak tepat. 

Kit ujian berkenaan yang turut digunakan untuk mengesan jangkitan HIV, dijual dengan harga 250 rupee (RM14) – akan mengurangkan bebanan di makmal dan meningkatkan pengesanan jangkitan. 

Keputusan kit ujian calitan hidung boleh diperoleh dalam tempoh 15 minit melalui kod QR dan aplikasi telefon mudah alih, yang kemudiannya maklumat akan dihantar kepada Majlis Penyelidikan Perubatan India. 

“Ia telah dihasilkan supaya orang ramai dapat melakukan (ujian saringan) di rumah. Oleh itu, cara melakukannya dan membuangnya mudah,” kata Ketua Serologi dan Mikrobioma Mylab, Shrikant Pawar. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button